Warga emas maut dalam kebakaran rumah

Warga emas maut dalam kebakaran rumah

Wanita berusia 89 tahun maut selepas kediamannya musnah dalam kebakaran.

Seorang wanita warga emas disahkan meninggal dunia dalam kebakaran di Kota Bharu, petang tadi, menurut bomba. (Gambar Bernama)
KOTA BHARU:
Seorang wanita warga emas berusia 89 tahun maut selepas kediamannya musnah hampir sepenuhnya dalam satu kebakaran berhampiran Jalan Tok Guru, petang tadi.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kota Bharu, Satyuti Satar, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui Sistem NG999 pada 5.58 petang sebelum sepasukan anggota dikerahkan ke lokasi kejadian.

Beliau berkata jentera bomba tiba pada 6.01 petang dengan kekuatan 27 anggota, dan mendapati kebakaran melibatkan sebuah rumah jenis sementara berkeluasan kira 5×5 meter persegi dengan kemusnahan dianggarkan 98%.

“Kebakaran itu mengakibatkan seorang mangsa perempuan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya kepada pemberita.

Bomba turut mendapatkan bantuan daripada balai bomba berhampiran bagi memastikan kebakaran dapat dikawal dengan segera. Punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan.

Sementara itu, seorang saksi, Anis Sutrliati Mohamad, 46, berkata beliau berkata terdengar bunyi seakan-akan objek jatuh sebelum melihat mangsa melambai tangan sambil menjerit meminta pertolongan.

“Api sedang marak ketika itu dan saya ternampak mangsa terjatuh ke bahagian bawah rumah. Saya tidak dapat membantu kerana haba terlalu panas dan terus menghubungi pihak bomba,” katanya.

Anis berkata warga emas tersebut sudah uzur serta mengalami kesukaran untuk berjalan dan melihat dengan jelas.

Dalam pada itu, Ketua Polis Kota Bharu, Azmir Damiri, mengesahkan kejadian tersebut dan memaklumkan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.