Lelaki didakwa pandu melulu sebabkan kematian 3 beranak

Lelaki didakwa pandu melulu sebabkan kematian 3 beranak

Tertuduh Mohamad Aqlan Marwan Mohamad Toha bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu.

Tertuduh, Mohamad Aqlan Marwan Mohamad Toha, 27, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kulim hari ini atas pertuduhan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian seorang bapa dan dua anaknya, 18 Januari lalu.
PETALING JAYA:
Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kulim hari ini atas pertuduhan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian seorang bapa dan dua anaknya, dalam kejadian 18 Januari lalu.

Bagaimanapun, tertuduh, Mohamad Aqlan Marwan Mohamad Toha, 27, mengaku tidak bersalah dan meminta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nur Hamizah Mat Shah, menurut Harian Metro.

Berdasarkan kertas pertuduhan, dia didakwa memandu Proton S70 secara melulu sehingga melanggar Perodua Viva dan menyebabkan kematian Muhammad Syazwan Mohd Suroddin, 25, serta dua anaknya, Muhammad Aqeel Afnan, 4, dan Muhammad Affan Mikhael, 2.

Kejadian itu berlaku di Jalan Kulim–Mahang di sini, kira-kira 5 petang.

Dakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun serta denda maksimum RM50,000.

Timbalan Pendakwa Raya Wan Nursalwati Wan Kamarul Ariffin mengendalikan pendakwaan manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Kamal Pasha Jamal.

Terdahulu, pihak pendakwaan memohon mahkamah menetapkan jaminan RM25,000 terhadap tertuduh namun peguamnya memohon jumlah itu dikurangnya dengan alasan tertuduh berpendapatan RM3,000 sebulan dan menyara isteri serta anak dua tahun.

Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin, selain menetapkan sebutan semula kes pada 3 Mac depan bagi proses serahan dokumen.

Nur Hamizah turut mengarahkan lesen memandu tertuduh digantung dan pasport antarabangsanya diserah kepada mahkamah sehingga kes berkenaan selesai dibicarakan. Tertuduh membayar wang jaminan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.