Warga emas maut pacuan 4 roda langgar tiang plaza tol

Warga emas maut pacuan 4 roda langgar tiang plaza tol

Polis berkata penumpang wanita Toyota Hilux yang juga isteri mangsa cedera ringan.

kemalangan plaza tol bentong
Keadaan Toyota Hilux dipandu mangsa selepas melanggar tiang keselamatan batu di Plaza Tol Bentong semalam. (Gambar PDRM)
PETALING JAYA:
Seorang warga emas maut selepas pacuan empat roda dipandunya melanggar tiang keselamatan di Plaza Tol Bentong dan terbalik semalam.

Ketua Polis Bentong, Zaiham Mohd Kahar, berkata warga tempatan berusia 65 tahun, Sapri Aziz, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di bahagian kepala.

Beliau berkata, penumpang wanita Toyota Hilux itu yang juga isteri mangsa berusia 61 tahun cedera ringan di bahagian kepala.

“Siasatan awal mendapati kenderaan tersebut yang dipandu dari arah Raub menuju Kuala Lumpur telah hilang kawalan lalu melanggar tiang keselamatan batu salah satu lorong Plaza Tol Bentong.

“Pelanggaran tersebut menyebabkan kenderaan berkenaan terbalik ke sebelah sisi kanan pemandu,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, mangsa cedera dihantar ke Hospital Bentong dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Jelasnya, usaha mengesan saksi kejadian dan meneliti rakaman kamera litar tertutup di kawasan plaza tol itu sedang dijalankan.

Beliau meminta kerjasama orang ramai yang melihat atau mempunyai maklumat berhubung kemalangan itu supaya tampil membantu siasatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.