
Dalam satu kenyataan, SKMM berkata, operasi bersama pasukan polis itu berjaya merampas 50 peralatan SIM Box, 5,000 kad sim dan kelengkapan berkaitan untuk tujuan siasatan.
Katanya, peralatan SIM Box serta penggunaan kad sim secara pukal, termasuk kad sim asing sering disalahguna bagi penciptaan akaun palsu dalam talian secara besar-besaran serta memintas kawalan keselamatan platform digital.
“Ia juga sering disalah guna untuk memudahkan kegiatan seperti penipuan dalam talian dan jenayah dalam talian yang lain.
“Kita memandang serius perkara ini kerana ia memberi ancaman kepada integriti rangkaian komunikasi negara serta keselamatan pengguna,” katanya dalam kenyataan.
SKMM berkata kes terbabit disiasat di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000.
“Bagi kesalahan di bawah seksyen 239 Akta 588, sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM100,000 atau penjara sehingga dua (2) tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.
Dalam pada itu, SKMM turut menggesa agar penyedia perkhidmatan telekomunikasi memperketatkan kawalan pendaftaran kad sim dalam menjamin keselamatan digital.
Menurutnya, mereka akan terus bekerjasama rapat dengan polis dan agensi penguatkuasaan lain bagi membanteras aktiviti itu.
“Ia bagi menjamin keselamatan negara, mencegah penyalahgunaan perkhidmatan telekomunikasi, serta memastikan pematuhan kepada undang-undang dan peraturan yang berkuat kuasa,” katanya.