Masih ada ruang PAS singkir Muhyiddin, kata penganalisis

Masih ada ruang PAS singkir Muhyiddin, kata penganalisis

Azmi Hassan dari Akademi Nusantara berkata PAS dengan sokongan Hamzah Zainudin masih berpeluang singkir Muhyiddin Yassin daripada jawatan pengerusi PN dan presiden Bersatu.

muhyiddin hamzah
Penganalisis politik berkata PAS mahu Muhyiddin Yassin (kanan) melepaskan jawatan presiden Bersatu untuk diambil alih Hamzah Zainudin.
PETALING JAYA:
Penganalisis politik tidak menjangkakan PAS akan meninggalkan Perikatan Nasional (PN) dalam masa terdekat kerana parti itu masih mempunyai ruang untuk menekan Muhyiddin Yassin melepaskan kepimpinan gabungan itu secara terhormat.

Azmi Hassan dari Akademi Nusantara menjangkakan PAS akan menggunakan ketua pembangkang, Hamzah Zainudin – “musuh” Muhyiddin dalam Bersatu – untuk menentang bekas perdana menteri itu dan menekannya melepaskan jawatan presiden Bersatu.

Beliau berkata, PAS mungkin memutuskan untuk berpisah dengan PN hanya jika semua usaha gagal dan Muhyiddin kekal menerajui gabungan pembangkang itu.

Azmi Hassan
Azmi Hassan.

“Lagipun, PAS sedar Bersatu sekadar menumpang populariti parti Islam itu di kerusi majoriti Melayu, khasnya di pantai timur dan utara Semenanjung.

“Buat masa ini, PAS masih mempunyai ruang menyingkirkan Muhyiddin daripada jawatan pengerusi PN dengan sokongan Hamzah. PAS juga mahu melihat Muhyiddin melepaskan jawatan presiden Bersatu supaya Hamzah boleh ambil alih.

“Jika semua ini gagal dan Muhyiddin kekal di tampuk kepimpinan, maka saya fikir tiada sebab untuk PAS kekal bersama PN lagi,” katanya kepada FMT.

Azmi menjangkakan Hamzah bersama sekutunya meninggalkan Bersatu dan menyertai parti Islam itu, khasnya menjelang PRU16 yang dijangka diadakan selewat-lewatnya pada awal 2028.

“Sangat sukar untuk Hamzah dan penyokongnya kekal dalam Bersatu, jika Muhyiddin masih berada di tampuk kepimpinan. Hamzah juga akan memperkukuhkan PAS dalam menghadapi Muhyiddin dan Bersatu.”

Ketegangan antara dua parti itu memuncak selepas Muhyiddin mendakwa PAS dan Bersatu bersetuju memansuhkan jawatan pengerusi PN sebagai sebahagian penstrukturan semula gabungan itu ketika mesyuarat di kediamannya lebih seminggu lalu.

Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man, menafikan dakwaan Muhyiddin dengan berkata perkara itu tidak dibincangkan dalam mesyuarat 16 Jan lalu. Parti itu menuntut jawatan pengerusi PN selepas Muhyiddin meletak jawatan 1 Jan lalu.

Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin, kemudiannya mencadangkan parti itu bertanding solo pada PRU16 jika kebuntuan jawatan pengerusi PN berlarutan.

PAS percaya ia boleh tiru ‘nilai’ Bersatu

Lau Zhe Wei dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia berkata, PAS kini percaya ia mempunyai keupayaan dan “nilai” dimiliki Bersatu sekarang, ketika PN ditubuhkan pada 2020.

Lau Zhe Wei
Lau Zhe Wei.

Dahulu, katanya, nilai Bersatu kepada PAS ialah imejnya agak sederhana dan kehadiran teknokrat serta negarawan berpengalaman dalam barisannya, termasuk Muhyiddin yang merupakan perdana menteri ketika itu serta beberapa menteri persekutuan lain.

Lau berkata, keadaan berubah apabila PAS memperoleh lebih banyak pengalaman dalam tadbir urus di peringkat persekutuan dan negeri, selain kemunculan pemimpin lebih sederhana seperti Timbalan Presidennya, Tuan Ibrahim Tuan Man dan Menteri Besar Terengganu, Ahmad Samsuri Mokhtar.

“Sekarang, persoalannya ialah sama ada Bersatu masih bernilai kepada PAS. Ketika ini, nampaknya tidak. Itu sebabnya PAS mula menuntut jawatan tertinggi. PAS kini percaya nilai Bersatu boleh digantikan pemimpinnya sendiri.

“Sama ada ia benar-benar mampu atau tidak adalah perdebatan lain, tetapi dalam konteks semasa, PAS pada dasarnya berhasrat menggantikan nilai Bersatu dalam PN.”

Katanya, langkah terbaik untuk PAS ialah meninggalkan PN dan bergerak solo memandangkan ia berada di kedudukan paling kukuh setakat ini dan berpotensi memenangi sejumlah besar kerusi untuk bersuara dalam pembentukan kerajaan.

Beliau percaya PAS telah memperkukuhkan kedudukannya dalam kalangan pengundi Melayu-Islam sehingga ia masih mampu muncul pemenang dalam pertandingan pelbagai penjuru dengan Umno dan Bersatu.

“Walaupun mungkin tidak dapat mencapai majoriti mudah untuk membentuk kerajaan sendiri, kekuatannya tetap ada. Mereka tidak perlu lagi bergantung kepada Bersatu.

“Bola kini di gelanggang PAS untuk menentukan sama ada mahu terus berunding dengan Bersatu atau sebaliknya. Jika anda tanya saya, keputusan terbaik ialah memutuskan hubungan secara langsung.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.