
ONSA mewajibkan penyedia platform digital mengawal kandungan berbahaya seperti buli siber, gangguan seksual dan penipuan dalam talian. Mereka yang gagal berbuat demikian berdepan
tindakan penguatkuasaan kerajaan.

Jururawat, Siti Noormaliana Rashid, 39, berkata tanggungjawab utama harus diletakkan pada platform digital sendiri.
“Platform kena bertanggungjawab atas kandungan yang mereka muat naik. Kawalan awal menjadikan internet lebih selamat untuk anak-anak,” katanya kepada FMT.
Ramesh Rajan, 41, menyamakan ONSA dengan sistem tapisan umur dalam industri perfileman.

“Macam Finas, ada kategori 18 tahun ke atas atau bawah. ONSA pun lebih kurang sama, platform nilai dulu sebelum siarkan kandungan,” kata pekerja awam di sebuah majlis perbandaran.
Suri rumah, Tamil Chelvi, 46, berkata masyarakat juga perlu memantau dan melaporkan pelanggaran oleh penyedia platform.

“Selepas ini platform media sosial pun akan lebih berhati-hati,” kata ibu tiga anak.
Namun, pesara kerajaan, Azweena Ahmad, 46, menegaskan masalah sebenar adalah pelaksanaan, bukan undang-undang.

“Kita sudah ada banyak akta, tapi perkara tidak diingini masih berleluasa. Penguatkuasaan mesti tegas dan konsisten, bukan hanya atas kertas,” katanya.
Pekerja swasta, Mohd Hamidan Rusli, 43, menggesa rakyat menyokong ONSA demi kesejahteraan generasi akan datang.

ONSA diperkenalkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dan diluluskan pada Disember 2024 untuk memperkukuh tadbir urus keselamatan digital negara, serta memastikan platform lebih bertanggungjawab terhadap kandungan dalam talian.
SKMM juga menganjurkan Hari Keselamatan Internet (HKI) 2026 berskala besar di Tasik Titiwangsa pada 8 Feb ini, dalam usaha memperkukuhkan peranan ibu bapa mengawal penggunaan internet selain membawa pasukan teknikal dan pakar bagi membantu pengunjung menetapkan ciri keselamatan pada peranti masing-masing.