HRD Corp gantung tugas 3 anggota pengurusan tertinggi

HRD Corp gantung tugas 3 anggota pengurusan tertinggi

HRD Corp memaklumkan tindakan itu susulan laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara, Ketua Audit Negara dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

hrd corp
HRD Corp akan melaksanakan siasatan dalaman yang telus dan berintegriti dengan mandat, skop serta terma rujukan yang jelas, menurut Shamir Aziz.
PETALING JAYA:
Human Resource Development Corporation (HRD Corp) menggantung tugas tiga anggota pengurusan tertinggi susulan laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Ketua Audit Negara dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

HRD Corp dalam kenyataan berkata tindakan diambil berdasarkan penemuan dan syor berkaitan pengurusan ‘levi tidak digunakan’, pemerolehan Menara Ikhlas serta pengurusan pelaburan ekuitinya.

Agensi itu turut menjelaskan ia juga merangkumi penemuan terkini berhubung Sistem Teras Baharu (New Core System – NCS) bernilai RM14 juta yang tertangguh lebih empat tahun selepas tiga kegagalan Ujian Penerimaan Pengguna (UAT).

Ketua Eksekutifnya Shamir Aziz menegaskan langkah pemulihan dan pengukuhan tadbir urus ini selaras dengan aspirasi Menteri Sumber Manusia R Ramanan yang menekankan standard integriti, ketelusan dan akauntabiliti lebih tinggi dalam institusi tenaga kerja.

“HRD Corp akan melaksanakan siasatan dalaman yang telus dan berintegriti dengan mandat, skop serta terma rujukan yang jelas.

“Proses ini merangkumi semakan dokumen, rekod kewangan, kelulusan, minit mesyuarat dan jejak audit berkaitan, selain pengambilan keterangan serta pengesahan fakta daripada pegawai terlibat, tertakluk kepada prinsip keadilan asasi dan keperluan kerahsiaan siasatan,” katanya.

Kenyataan sama turut memaklumkan, dalam minggu pertama pelantikan Shamir, HRD Corp berjaya memperoleh penyelesaian kira-kira 18% daripada portfolio pelaburan berstruktur yang tertunggak, bersama pulangan berjumlah RM151.8 juta.

Usaha ini membuktikan pemulihan yang pantas telah dilakukan selain dapat memastikan pelaburan yang dibuat oleh HRD Corp lebih terjamin dan dilindungi.

“Selain itu, bagi memastikan tadbir urus dan pemantauan yang lebih kukuh, pelaksanaan program latihan yang diluluskan hanya boleh dijalankan selepas tempoh minimum 21 hari hingga tiga bulan daripada tarikh kelulusan,” menurut HRD Corp.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.