
Terbaharu, seruan itu turut disambut bekas setiausaha agung Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Alex Soosay, yang juga merupakan bekas pentadbir di peringkat kebangsaan, pemain, dan jurulatih.
Sokongan Soosay menyusuli rayuan terbuka pemain tengah dan jurulatih tersohor, Lim Teong Kim pada bulan ini, sekali gus memberikan autoriti institusi kepada kempen berpaksikan reformasi, bukannya sentimen semata-mata.
Selepas menghabiskan lebih dua dekad dalam ekosistem AFC dan Fifa, Soosay melihat bagaimana kredibiliti itu dibina dan mudahnya ia ia runtuh.
“FAM sudah kehilangan martabat dan kredibiliti,” kata Soosay. “Ketika ini, Al-Sultan Abdullah menjadi pilihan terbaik menerajui pemulihannya.”
Sokongannya bukan sesuatu dibuat secara semberono. Soosay pernah bekerjasama rapat dengan Sultan ketika baginda memegang jawatan sebagai naib presiden AFC dan pengerusi bagi beberapa jawatankuasa utama, termasuk jawatankuasa teknikal, jawatankuasa penganjur tertinggi Piala Asia dan Piala Dunia Belia Fifa Malaysia 1997.
“Baginda seorang pemimpin yang faham selok-belok sukan ini,” kata Soosay. “Sebagai pemain, pentadbir, dan pembuat keputusan di peringkat global, baginda tahu bagaimana bola sepak berfungsi dan bagaimana ia perlu ditadbir.”
Gesaan itu timbul ketika FAM dikritik hebat susulan skandal pemain warisan melibatkan tujuh pemain, di mana dakwaan dokumen palsu membawa kepada sekatan Fifa, denda, dan keputusan perlawanan yang dibatalkan.
Sesi pendengaran Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) dijadualkan pada 26 Feb, detik yang mampu mencorak masa depan terdekat persatuan tersebut serta kedudukannya di peringkat antarabangsa.
Bagi Soosay, krisis berkenaan mendedahkan kegagalan sistemik dan menuntut kepimpinan yang tuntas.
“Perkara ini tidak boleh diperbaiki sekadar penyelesaian sementara,” katanya. “Anda memerlukan kredibiliti di peringkat atasan untuk memulihkan kepercayaan di peringkat bawah.”
Beliau merujuk peranan Al-Sultan Abdullah dalam memperkenalkan bola sepak profesional di Malaysia pada 1989, kepimpinan awal baginda dalam pembentukan dan pertumbuhan Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF), serta sumbangan dalam Majlis Fifa, di mana baginda memulakan program bola sepak sekolah Fifa yang masih diteruskan sehingga ke hari ini.
“Banyak perkara yang kita anggap sebagai lumrah selama ini dalam bola sepak Malaysia bermula dengan baginda,” kata Soosay. “Laluan profesional, struktur belia, dan penyelarasan antarabangsa.”
Selain kelayakan, Soosay menekankan mengenai keperibadian baginda.
“Baginda seorang yang tenang. Merendah diri. Baginda mendengar,” katanya. “Sebab itulah orang ramai menghormati baginda. Dan rasa hormat itulah yang amat diperlukan oleh bola sepak Malaysia ketika ini.”
Soosay percaya sultan Pahang itu mempunyai visi menetapkan semula hala tuju profesional, pembinaan semula akar umbi dan belia, penyusunan kembali liga sebagai perniagaan berdaya maju, serta memodenkan sistem kejurulatihan dan pengadilan.
“Ini berkisar meletakkan semula asas yang betul di tempatnya,” katanya. “Jika Al-Sultan Abdullah memegang jawatan presiden, baginda mampu mengangkat semula imej dan martabat bola sepak Malaysia.”
Al-Sultan Abdullah belum memberikan sebarang maklum balas secara terbuka terhadap gesaan yang semakin meningkat itu, namun berdiam diri bukanlah sesuatu yang mengejutkan.
Keputusan sedemikian membawa bebanan dari sudut institusi, perlembagaan, dan moral, terutamanya melibatkan prosiding undang-undang yang masih berjalan.
Namun, momentum tersbeut jelas tidak dapat dinafikan. Apa yang bermula sebagai seruan Teong Kim kini berkembang menjadi rayuan kolektif daripada mereka yang mencorak sukan ini dari dalam.
Dan mesej kepada pihak lain dalam bola sepak Malaysia sememangnya jelas: jika kredibiliti adalah matlamat utama, sekarang masanya untuk bersuara.