
Presiden Persatuan Pengimport Produk Khinzir Malaysia, Chong Kam Weng, turut menyifatkan langkah itu sebagai ‘tegas, tepat pada masanya dan bertanggungjawab’ bagi memastikan bekalan daging babi mencukupi menjelang sambutan Tahun Baharu Cina.
Beliau berkata keputusan DVS itu juga dapat menangani isu penyeludupan dan import tidak terkawal, yang menurutnya menimbulkan ancaman lebih besar terhadap kesihatan haiwan, keselamatan awam dan biosekuriti negara.
Chong berkata DVS secara konsisten menunjukkan kecekapan dalam mengurus risiko import, termasuk dari negara yang mempunyai sejarah penyakit sebelum ini.
“Sebarang dakwaan bahawa DVS gagal melaksanakan tanggungjawab ini dengan sewajarnya adalah mengelirukan, tidak bertanggungjawab dan tidak disokong oleh fakta,” katanya.
Sabtu lalu, Presiden Persatuan Pengimport dan Pengeksport Produk Khinzir Malaysia, Lai Poh Chon, menyuarakan kebimbangan mengenai kelulusan kerajaan kepada empat rumah sembelih di Thailand untuk mengeksport daging babi ke negara ini.
Lai juga mempersoalkan apa yang dilihat sebagai dwistandard apabila import daging babi dari Sepanyol, Jerman dan Poland diharamkan susulan wabak ASF, tetapi import dari Thailand dibenarkan walaupun berdepan keadaan risiko penyakit haiwan yang sama.
Bagaimanapun, Chong berkata dakwaan mengenai kelulusan yang tidak adil atau kelemahan dalam pemantauan penyakit adalah tidak berasas.
Beliau berkata semua premis yang diluluskan menjalani audit, pemeriksaan dan pemantauan pematuhan berterusan yang ketat selaras dengan perundangan negara dan piawaian antarabangsa.