Anwar tolak gesaan pecat Azam

Anwar tolak gesaan pecat Azam

Perdana menteri memuji Azam Baki kerana menjalankan tanggungjawab dengan baik sebagai ketua pesuruhjaya SPRM.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata tiada asas untuk memecat Azam Baki sebagai ketua pesuruhjaya SPRM.
PETALING JAYA:
Perdana Menteri Anwar Ibrahim menolak gesaan supaya kerajaan memecat Azam Baki sebagai ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Anwar berkata, tiada asas untuk menyingkirkan Azam, yang menurutnya melaksanakan tanggungjawab dengan baik.

“Orang buat kerja nak pecat mengapa? Baca penjelasannya (mengenai laporan dakwaan pegangan saham),” katanya ditemui selepas Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM) 2026, malam ini.

Anwar berkata, kritikan dilemparkan terhadap Azam adalah tidak sihat, dan menggesa semua pihak meneliti penjelasannya sebelum membuat sebarang penghakiman.

Beliau berkata, keputusan tidak seharusnya dibuat tanpa mendengar penjelasan pihak berkaitan dan pertimbangan fakta.

Terdapat desakan daripada Ahli Parlimen PKR seperti Rafizi Ramli dan Hassan Karim, antara lain supaya Azam meletak jawatan atau kerajaan menggantung atau memecatnya.

Ia susulan laporan Bloomberg yang mendakwa Azam memiliki 17.7 juta saham atau 1.7% dalam Velocity Capital Bhd, berdasarkan penyata tahunan syarikat pada 3 Feb tahun lalu.

Nama Azam dilaporkan masih tersenarai dalam daftar pemegang saham syarikat itu di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Perkara itu didakwa melanggar pekeliling kerajaan 2024 yang menyatakan penjawat awam hanya boleh memegang saham dalam syarikat diperbadankan di Malaysia jika pegangan itu tidak melebihi 5% daripada modal berbayar atau bernilai RM100,000, yang mana lebih rendah.

Bagaimanapun, semalam Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), M Kulasegaran, berkata di Dewan Rakyat kuasa untuk membenarkan penjawat awam membuat pelaburan saham melebihi RM100,000 terletak pada ketua setiausaha negara.

Hari ini, Azam berkata akan menghantar surat tuntutan kepada Bloomberg dengan mendakwa laporan itu berniat jahat dan mencemarkan reputasinya serta SPRM.

Azam berkata, beliau mengisytiharkan pegangan sahamnya kepada Jabatan Perkhidmatan Awam pada Julai 2025 dan melupuskannya pada tahun sama.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.