Kenapa model pencen hibrid penting untuk masa depan Malaysia

Kenapa model pencen hibrid penting untuk masa depan Malaysia

Gabungan simpanan peribadi dan pendapatan asas bulanan yang dijamin penting untuk menyelamatkan generasi akan datang daripada miskin tua, kata pakar.

elderly
Keperluan untuk skim pencen lebih mampan, yang menjamin pendapatan asas bulanan berbanding simpanan peribadi menjadi lebih mendesak apabila jangka hayat rakyat semakin meningkat .
PETALING JAYA:
Susulan purata jangka hayat yang kian meningkat, rakyat berusia 65 tahun ke atas akan merangkumi sekurang-kurangnya 14% daripada populasi menjelang 2048, sekali gus menjadikan Malaysia ‘negara menua’.

Walaupun jangka hayat lebih panjang sering dilihat sebagai sesuatu yang positif, situasi ini juga sebenarnya memperlihatkan sisi lain.

Pertama, peralihan akan menjadi sukar. Tekanan ekonomi seperti kos sara hidup lebih tinggi serta simpanan persaraan yang tidak mencukupi akan mendorong pekerja terus bekerja lebih lama, malah mungkin memaksa pesara kembali bekerja.

Bagi kerajaan, keadaan ini menimbulkan satu lagi cabaran — pekerja berusia menjadi lebih terdedah kepada penyakit, kecederaan dan masalah kesihatan berkaitan pekerjaan, sekali gus menambahkan tekanan kepada sistem penjagaan kesihatan.

Sehingga 2023, dua juta individu dewasa direkodkan bergelut dengan pelbagai penyakit tidak berjangkit seperti diabetes, tekanan darah tinggi, kolesterol tinggi dan obesiti, sehingga menyebabkan sistem keselamatan sosial dan kesihatan sedia ada terus terbeban. Angka ini dijangka terus meningkat dari semasa ke semasa.

Bersama amalan di Malaysia yang membenarkan pengeluaran KWSP secara sekali gus ketika persaraan, terdapat tanda-tanda sistem perlindungan sosial tidak mampan dalam jangka panjang, menjadikan pembaharuan semakin mendesak.

Jumlah tuntutan Perkeso tertinggi sepanjang masa

Menurut kajian Universiti Teknologi Mara (UiTM) pada 2025, Perkeso menerima 383,101 permohonan tuntutan pada 2024. Jumlah itu hampir enam kali ganda berbanding angka direkodkan 25 tahun lalu.

Lonjakan tuntutan itu sebahagiannya didorong perluasan perlindungan kepada golongan bekerja sendiri dan pekerja domestik, selain peningkatan kesedaran awam mengenai kelayakan mereka.

Apabila semakin ramai rakyat Malaysia membuat tuntutan secara aktif, sistem berdepan cabaran untuk mengekalkan kemampanan kewangan jangka panjang, khususnya apabila purata umur pencarum terus meningkat.

Ahli akademik, Mohd Zaki Awang Chek, berkata walaupun peningkatan tuntutan menunjukkan peranan Perkeso sebagai jaringan keselamatan yang penting berfungsi dengan baik, trend kenaikan mendadak itu menandakan perubahan kritikal dalam landskap perlindungan sosial Malaysia.

“Jangka hayat bekerja yang lebih panjang berkait secara langsung dengan kekerapan tuntutan Perkeso lebih tinggi, khususnya bagi faedah hilang upaya kekal akibat pekerjaan dan faedah keilatan,” kata profesor madya Fakulti Sains Komputer dan Matematik UiTM itu kepada FMT.

Dengan simpanan yang sedikit selepas persaraan, ramai terpaksa membuat tuntutan keilatan sebagai jalan kewangan terakhir, sekali gus menjadikan faedah hilang upaya

Perkeso sebagai sumber pencen pilihan terakhir.

Keadaan ini memberi tekanan aktuari yang besar kepada sistem direka untuk insurans sosial, bukannya persaraan dan mempercepatkan pengurangan dana insurans sosial daripada jangkaan.

Pakar berpendapat pengenalan model pencen hibrid dapat membantu dengan menyediakan ‘tahap pencen minimum’ yang terjamin, bagi memastikan manfaat perubatan dikhaskan untuk mereka yang benar-benar sakit dan cedera.

Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) mentakrifkan ‘tahap pencen minimum’ sebagai satu set jaminan keselamatan sosial untuk memastikan semua rakyat melebihi umur tertentu mempunyai akses kepada jaminan pendapatan asas.

Bagaimana model pencen hibrid boleh menangani isu ini

Model pencen hibrid menggabungkan simpanan persendirian dalam skim pencen seperti KWSP dengan tahap pencen minimum bulanan yang disumbang dan dikumpulkan secara awam. Sistem ini memastikan bahawa walaupun kehabisan simpanan peribadi, bayaran bulanan untuk menampung kos sara hidup asas tetap dijamin, mewujudkan jaringan keselamatan nasional bersama yang melindungi semua rakyat.

Sistem keselamatan sosial semasa Malaysia bergantung kepada dua perkara wajib — KWSP, iaitu model sumbangan tetap untuk simpanan persaraan dan Perkeso yang menyediakan insurans sosial terhadap kecederaan dan hilang upaya akibat pekerjaan.

Kebergantungan pada KWSP, terutama dalam sektor swasta mewujudkan budaya tanggungjawab individu yang tinggi untuk persaraan, mendedahkan ramai orang tanpa pendapatan seumur hidup yang dijamin dan disesuaikan dengan inflasi.

Model pencen hibrid menambah lapisan faedah tertentu yang menyediakan pendapatan tetap yang boleh diramalkan sepanjang hayat, biasanya dibayar setiap bulan dan boleh disesuaikan mengikut inflasi.

Menurut Timbalan Pengarah Penyelidikan di Institut Penyelidikan Khazanah, Christopher Choong, Malaysia tidak dapat mengelak daripada peralihan kepada model perkongsian risiko berasaskan solidariti yang secara institusinya lebih mantap, satu pandangan yang turut dikongsi oleh Zaki.

Zaki berkata, sistem hibrid yang memperkenalkan lapisan faedah tertentu untuk pekerja sektor swasta kini menjadi keperluan memandangkan terdapat keperluan untuk menangani krisis kemiskinan warga tua pada masa depan.

Bagaimanapun, peralihan daripada sifat individualistik yang mendefinisikan KWSP sekarang kepada skim lebih kolektif mungkin berdepan tentangan tertentu.

“Ia seperti ahli keluarga bersama-sama menyumbang untuk membayar penjagaan orang tua mereka, tetapi dalam konteks nasional yang lebih luas.

“Idea untuk bergerak ke arah model perkongsian risiko berasaskan solidariti sebenarnya tidak jauh berbeza daripada apa yang komuniti lakukan secara tidak formal pada masa kini.

Kini isu utama adalah memperluaskan jaringan ini melebihi ahli keluarga terdekat kepada seluruh masyarakat Malaysia,”kata Choong.

Choong berkata, jika populasi menua dan simpanan berkurang dilihat sebagai krisis nasional, ia akan membolehkan kerajaan campur tangan seperti yang berlaku semasa pandemik Covid-19.

“Soalannya kini ialah sama ada penuaan dan persaraan usia tua adalah krisis yang sedang berlaku atau krisis yang menunggu untuk berlaku.

“Fakta bahawa kita sedang menimbangkan model yang berbeza menunjukkan bahawa sistem semasa yang fokus kepada KWSP tidak memadai,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.