
Menyifatkan perayaan ini wadah penting dalam memperkukuh semangat kekeluargaan, perpaduan, serta keharmonian dalam kalangan rakyat berbilang kaum, Tuanku Syed Sirajuddin menegaskan kepelbagaian budaya dan tradisi yang diraikan secara bersama merupakan kekuatan yang menyatukan rakyat Perlis dalam suasana hormat-menghormati dan saling memahami.
“Semangat muhibah serta toleransi yang sekian lama terjalin hendaklah terus dipelihara demi menjamin kestabilan dan kemajuan negeri,” titahnya dalam ucapan sempena Tahun Baharu Cina.
“Semoga Tahun Baharu Cina kali ini disambut dalam suasana penuh keceriaan bersama keluarga dan insan tersayang, di samping terus memperkukuh ikatan persahabatan serta perpaduan antara seluruh umat Perlis.”
Tuanku Syed Sirajuddin dan Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid hari ini berangkat ke majlis rumah terbuka anjuran tokoh perniagaan, Lee Kim Yew, dan isteri, Tan Bee Hong.
Turut bersama Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail; dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil; diiringi cucu baginda berdua, Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail dan Sharifah Farah Adriana Jamalullail.
Majlis dimeriahkan dengan persembahan simbolik mercun kuning, sebagai tanda kemakmuran dan kesejahteraan, serta acara loh sang, sebagai lambang perpaduan dan keberkatan.