Kampung Jalan Papan: Semangat Tahun Baharu Cina hancur di sebalik robohan

Kampung Jalan Papan: Semangat Tahun Baharu Cina hancur di sebalik robohan

Pada November 2025 rumah masih didiami di Pandamaran, Klang diroboh demi projek pembangunan mengakibatkan banyak keluarga hilang tempat berteduh sekelip mata.

Lee Zhi Jie, 22, yang dibesarkan di Kampung Jalan Papan tidak mempunyai rumah untuk merayakan Tahun Baharu Cina kali ini. (Afizi Ismail @ FMT Lifestyle)
KLANG:
Saban tahun menjelang Tahun Baharu Cina, kediaman lazimnya sudah dihiasi dekorasi meriah, namun di Kampung Jalan Papan, semangat perayaan penduduk di sini sudah hancur di sebalik robohan.

Terletak di Pandamaran, Klang, Kampung Jalan Papan merupakan penempatan yang sejarahnya bermula sejak 1939. Bagaimanapun, selama beberapa dekad, penduduknya hidup dalam ketidakpastian disebabkan pertikaian ke atas sebidang tanah seluas sekitar 95 ekar.

Atas nama pembangunan, komuniti ini dipinggirkan.

Banyak keluarga di sini pernah memegang lesen pendudukan sementara (TOL). Malah, pada 1992 mereka diberi jaminan hak milik tanah oleh kerajaan Selangor.

Bagaimanapun, mereka kini berdepan pengusiran oleh pemaju swasta Melati Ehsan Holdings Berhad, walaupun terdapat janji awal mereka tidak akan dipindahkan.

Penduduk juga mendakwa, mereka pernah ditawarkan rumah teres dua tingkat bersaiz 20’ x 70’ pada harga RM99,000 sebagai ganti.

Tetapi, sejak 2020 mereka dilabelkan sebagai setinggan haram. Ketegangan memuncak pada November tahun lalu, apabila 29 rumah yang masih didiami telah dirobohkan, sementara keluarga terjejas hanya mampu melihat dalam keadaan trauma.

KG PAPAN RESIDENTS
Teoh Ah Guat, 63, terlibat aktif dalam protes bersama penduduk lain. (Moganraj Villavan @ FMT Lifestyle)

FMT Lifestyle berkunjung ke kampung itu baru-baru ini dan menemu bual beberapa penduduknya – yang mana sebahagian besar mereka terdiri warga emas.

Tinjauan di kawasan sekitar mendapati, jelas kelihatan kerja pembersihan asas belum dilakukan. Apa yang dahulunya merupakan kediaman, kini tinggal timbunan kayu yang hancur berderai. Dari jarak dekat, jubin lantai, pintu, dan papan kayu dengan paku yang terdedah bersepah di merata tempat.

Teoh Ah Guat, 63, selaku timbalan pengerusi Persatuan Penduduk Kampung Jalan Papan, memberitahu FMT Lifestyle perjuangan mereka berlarutan hampir 30 tahun.

“Mereka layan kami macam pengganas. Sekarang kami sentiasa dalam ketakutan, tertanya-tanya bila pula baki rumah kami akan dirobohkan lagi. Bila akhirnya kami akan dapat rumah? Ke mana lagi kami kena pergi?”

demolished to make way for development. (Muhammad Rabbani Jamian @ FMT Lifestyle) 13226
November lalu sekitar 29 rumah di kampung itu dirobohkan bagi memberi laluan kepada pembangunan. (Muhammad Rabbani Jamian @ FMT Lifestyle).

Teoh mengimbau kembali Kampung Jalan Papan dahulunya merupakan sebuah perkampungan pertanian yang sibuk, di mana penduduknya bercucuk tanam sayur dan menternak babi.

“Nenek moyang kami menabung sedikit demi sedikit selama bertahun-tahun untuk membina sendiri rumah-rumah ini. Kami membayar bil elektrik dan air kami sendiri, serta membangunkan tempat ini dengan usaha kami sendiri,” katanya.

Sebagai satu komuniti didominasi masyarakat Cina, mereka ditanya mengenai rancangan sambutan Tahun Baharu kali ini.

“Apabila sudah banyak yang musnah, macam mana kami mahu rasa sambut perayaan? Rumah-rumah kami dirobohkan. Kami sudah kehilangan banyak benda. Tidak ada mood pun untuk membeli baju baharu, buat kuih, atau gantung hiasan. Kami rasa kosong,” kata Teoh.

room (Moganraj Villavan @ FMT Lifestyle) 13226
Ramai penduduk hilang tempat tinggal kini menetap di pondok sementara satu bilik dibina sukarelawan dan penduduk lain. (Moganraj Villavan @ FMT Lifestyle)

Bersatu merentasi rencam kaum, komuniti berkenaan dahulunya meraikan semua perayaan bersama. Namun, bagi Nathan Marimuthu, yang rumahnya dibina generasi sebelumnya, kini telah hilang tempat tinggal dan juga rasa kebersamaan.

“Mereka guna jentera merobohkan rumah saya, dan dalam masa 30 minit sahaja ia hancur semua. Isteri saya menangis. Anak saya menangis. Kami tidak meminta apa-apa yang besar – cuma sebuah rumah sebagai ganti. Itu sahaja,” katanya dengan nada suara yang penuh hampa.

Sambil berdiri di hadapan runtuhan yang dahulunya menjadi tempat berteduh, Nathan dan isterinya tidak lagi dapat menahan linangan air mata.

Selepas menetap di Kampung Jalan Papan lebih 55 tahun, Nathan berkata anak lelakinya ditangkap ketika cuba menghalang perobohan rumah masih berpenghuni. Sejak itu, keluarga berkenaan terpaksa tinggal di rumah sewa yang lebih jauh, dan anak-anaknya pula terpaksa bertukar sekolah.

KG PAPAN RESIDENTS
Di sebalik keadaan menimpa komuniti berbilang kaum ini tetap kental dan bersatu. (Moganraj Villavan @ FMT Lifestyle)

Walaupun berdepan kehilangan sebegitu besar, komuniti itu menjadi semakin kuat. Dalam tempoh tiga minggu, penduduk dan sukarelawan berganding bahu membina pondok sementara satu bilik, menggunakan sisa runtuhan daripada rumah yang telah dirobohkan.

Antara kisah meruntun jiwa adalah mengenai Lee Zhi Jie, 22, yang dibesarkan neneknya berusia 86 tahun di sini. Dia tidak mempunyai pendidikan tinggi, tiada pekerjaan, dan kini tiada tempat berteduh.

“Saya tidur di pondok sementara pada waktu malam dan pulang ke rumah keluarga saya pada pagi untuk makan. Tahun Baharu ini, saya tidak rasa kemeriahan perayaan itu walaupun sedikit,” kata Lee.

Tatkala bunga api menerangi langit di seluruh negara, penduduk Kampung Jalan Papan melangkah masuk ke Tahun Baharu Cina dalam keheningan dan kesedihan, masih menunggu jawapan mengenai nasib mereka.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.