Saksi dengar pertengkaran, lihat ibu berlumuran darah, kata polis

Saksi dengar pertengkaran, lihat ibu berlumuran darah, kata polis

Saksi yang juga adik bongsu suspek keluar dari bilik lalu melihat ibunya menjerit supaya pergi minta pertolongan.

Ashari Abu Samah
Ketua Polis Kuantan Ashari Abu Samah, berkata saksi minta bantuan bapa saudara, namun apabila tiba di rumah semua lima sekeluarga tidak sedarkan diri. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Saksi kejadian dalam kes bunuh lima sekeluarga di kawasan perumahan Cerating Damai, Kuantan, semalam, sempat meminta tolong sejurus mendapati ibunya dalam keadaan berlumuran darah.

Ketua Polis Kuantan Ashari Abu Samah, berkata saksi yang juga adik bongsu suspek sebelum itu mendengar bunyi pertengkaran sekitar 7 pagi ketika berada di bilik tidur.

“Apabila saksi keluar bilik dan menoleh ke arah dapur, didapati ibunya dalam keadaan berlumuran darah dan menjerit supaya dia pergi meminta bantuan bapa saudaranya yang berada di belakang kawasan perumahan sama.

“Saksi kemudian meminta bantuan bapa saudaranya dan setelah tiba di rumah, didapati semua mangsa dan suspek berada dalam keadaan berlumuran darah serta tidak sedarkan diri,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata, rumah berkenaan didiami lapan ahli keluarga termasuk suspek yang bekerja sebagai pengawal keselamatan, isteri seorang suri rumah, dua anak perempuan, ibu serta tiga adik lelakinya, namun semasa kejadian hanya terdapat enam ahli keluarga.

Ashari berkata, semakan mendapati suspek berusia 32 tahun tiada sebarang rekod rawatan mental atau kesalahan lampau.

Beliau berkata, siasatan awal di tempat kejadian mendapati suspek telah mencederakan isteri, Nurul Asshiykin Kamaruzaman, 33, terlebih dahulu dan kemudian ibunya Tuan Kamaria Tuan Puteh, 55, seterusnya dua anak perempuan Nur Saffiyah Humairah, 4, dan Nur Sumayyah Humairah, 2, sebelum mencederakan diri serta turut maut.

Kesan kecederaan terhadap mangsa ditemukan antaranya di bahagian tangan, telinga, dan leher, manakala polis turut merampas sebilah pisau berukuran 29cm di lokasi kejadian.

Difahamkan, bedah siasat terhadap suspek dan isteri telah dijalankan semalam, manakala ibu dan dua anaknya bersambung 9 pagi tadi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.