
Jika anda peminat sitkom The Big Bang Theory pasti anda mengenali watak Sheldon Cooper, seorang ahli fizik yang cukup genius tetapi amat rendah kemahiran sosialnya. Dia sangat mementingkan diri sendiri dan kurang empati terhadap orang lain. Kita faham bahawa Sheldon ini sebenarnya orang kurang upaya (OKU), barangkali autisme.
Populariti sitkom ini berlanjutan sehingga munculnya ‘spin-off’ siri Young Sheldon pula yang mengisahkan zaman kanak-kanak mamat ini bersama keluarganya. Di sinilah kita dapat mengenali betapa ibunya Mary Cooper sangat melindungi Sheldon yang dilihat rapuh. Meskipun Sheldon mempunyai IQ yang tinggi tak sepadan usianya tetapi ibunya tahu anak istimewanya ini tak mampu berhadapan dengan cabaran hidup yang normal. Maka itu, ibunya sanggup berbuat apa sahaja agar anaknya tidak dibuli, diperguna atau menjadi mangsa. Mary Cooper tahu anak lelakinya itu lurus bendul dan tak pandai membaca perasaan orang lain, maka apa sahaja permintaan Sheldon akan dipenuhinya. Mary berniat baik sebagai ibu dan tentulah tindakannya betul tetapi dalam proses itu, ada dua lagi anaknya yang sedang membesar sedang menerima kesan berbeza.
Missy, kembar kepada Sheldon tidak genius seperti Sheldon malah langsung tidak pandai dalam akademik. Missy seperti kanak-kanak perempuan lain yang bermain dengan anak patung dan gemarkan gosip. Ada kalanya ketika memuji kepintaran Sheldon, Mary kebuntuan idea apa nak dipuji kepada Missy. Ya tak ya, pujilah yang dia cantik. Tetapi Missy ada kekuatan lain; dia lebih berdikari dan banyak menyelesaikan masalahnya sendiri.
Kecerdikan Sheldon menyebabkan dia melompat masuk ke kelas yang sama gred dengan abang sulungnya, Georgie. Georgie mengalami kesulitan kerana pencapaian adiknya lebih baik daripadanya. Tetapi Georgie ada kelebihan yang Sheldon tiada; dia mempunyai skil sebagai mekanik dan dia juga pandai mencari duit dengan berniaga. Namun, kemahirannya jarang diraikan oleh ibu dan bapanya. Dia lebih banyak dimarahi dan dianggap sebagai budak biasa-biasa saja.
Dalam kisah ini kita tahu Mary mungkin tidak berniat untuk mengabaikan Missy dan Georgie. Dia hanya terlalu fokus kepada Sheldon yang dia rasa paling perlu diselamatkan. Di sinilah masalahnya – niat yang baik belum tentu menjamin keadilan. Dalam banyak episod, Missy sendirian dan Georgie memendam rasa. Sedikit-sebanyak mereka bengang dengan Sheldon kerana tonggak utama keluarga hanya berpusat kepada Sheldon seorang. Bapanya, George Sr pula jenis malas-malas untuk ambil serius dalam banyak hal. Dia berfikiran ‘simple’ seperti tipikal bapa yang lain. Penat bekerja barangkali.
Rupanya saya perhatikan keluarga Cooper ini adalah cerminan sebuah institusi, masyarakat dan boleh jadi juga sebuah kerajaan dalam mengurus perbezaan latar rakyatnya. Sheldon seakan menjadi simbol kepada suatu pihak minoriti yang sensitif dan perlu dijaga, sentiasa perlu dibela supaya keadaan tidak menjadi huru-hara manakala Missy dan Georgie pula mewakili kumpulan majoriti yang diminta supaya lebih matang, lebih bertoleransi, lebih memahami dan perlu banyak mengalah. Ini kerana ‘ibu bapa’ berasakan yang ‘Georgie’ dan ‘Missy’ boleh tahan, pandai jaga diri dan boleh ditenangkan dengan pujukan ‘tak mengapa’.
Pada permukaannya kita nampak keadilan gaya Mary ini logik dan munasabah. Jika tidak menjaga kebajikan Sheldon, dia akan buat kacau. Jadi, perhatian perlu diberikan lebih kepadanya. Tetapi persoalannya sampai bila? Bolehkah keadilan selesai cara begitu? Bila Sheldon perlukan komputer, dia dapat. Missy cukup dibeli gula-gula dan permainan sahaja. Tetapi ketika Georgie mahu bapanya melanggan kabel rangkaian TV, bapanya suruh dia cari duit sendiri. Ada kalanya Sheldon terang-terang salah tetapi dia dibela dan saudaranya yang lain pula diminta beralah kalaupun tak dipersalahkan. Jika ini berlaku dalam masyarakat yang lebih besar, tidakkah ia hanya menangguhkan sebuah ledakan? Ini yang perlu diperhatikan secara serius.
Keharmonian yang hendak dibina mestilah berpaksikan keadilan. Andai suatu pihak disuruh beralah supaya keharmonian dipelihara, pada masa sama mestilah juga menerangkan kepada pihak yang membuat salah bahawa perbuatannya memang salah, akur lalu meminta maaf dan patut menghentikannya. Harmoni tak akan berlaku apabila satu pihak dibela walaupun salah sementara satu pihak lagi sentiasa disuruh bersabar walaupun terluka. Paling sedih, pihak yang disuruh bertenang itu pula yang dikatakan punca segala kalut dan malut. Niat si ibu, Mary Cooper baik – mahu mengelakkan kekacauan tetapi tanpa sedar dengan terlalu melindungi Sheldon, dia mencipta ketegangan lain di dalam rumahnya.
Missy dan Georgie tak boleh disudutkan begitu sahaja. Begitu juga dalam masyarakat. Nanti akan berlaku ketidakseimbangan. Tak adil jika suara Missy dan Georgie disenyapkan dengan amaran, ‘Diam! Jangan buat kacau.’ Keluhan mereka perlu juga didengar. Jika keluhan mereka berasas, walaupun pahit, kena selesaikan.
Keluarga atau negara yang sihat harus memelihara keharmonian dengan menggigit teguh kebenaran. Ibu bapa atau kepala negara mestilah tegas dan dengan penuh rasa tanggungjawab, memberikan keadilan kepada semua anak yang memang sentiasa berbeza perangainya. Yang benar harus kata benar dan yang salah harus tahu dia buat salah. Bukan mengelak masalah dengan menyapunya di bawah karpet dan meminta semua pihak diam. Toleransi itu baik tetapi ia harus membuat semua pihak senang, bukannya ada pihak yang terpaksa menelan sakit.
Dalam hal ini, saya lebih memilih kebijaksanaan Meemaw, ibu Mary Cooper. Sebagai nenek, dia memanjakan Sheldon dengan gelaran ‘moon pie’ tetapi jika Sheldon naik mua, dia bertegas sehingga Sheldon akur dan patuh. Meemaw juga membelai manja Missy dan ‘sporting’ dengan kenakalan Georgie yang meningkat remaja. Dia pandai main tarik tali. Dia sayang tiga cucunya, dia tahu Sheldon berbeza tetapi dia bijak mengawalnya dengan adil. Meemaw membuatkan Georgie, Sheldon dan Missy rasa diterima. Di situlah Mary kalah.
Dalam hal yang melibatkan kestabilan – harapnya janganlah keadilan dilaksana mengikut gaya Mary. Ada kala nampak macam tegas tetapi sekadar hendak menangguhkan sahaja buat sementara sahaja sedangkan masalah langsung tak dapat diselesaikan. Jadilah seperti Meemaw. Baik boleh baik, manja boleh manja tetapi salah tetap salah, tak boleh tetap tak boleh sehingga tiada siapa boleh ambil kesempatan dan merengek kononnya menjadi mangsa penganiayaan. Tegas dan berprinsiplah dalam memimpin!
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.