Olimpik Musim Sejuk: Atlet Malaysia duduki tempat ke-44 slalom wanita

Olimpik Musim Sejuk: Atlet Malaysia duduki tempat ke-44 slalom wanita

Atlet luncur alpine, Aruwin Salehhuddin, menamatkan kempen Sukan Olimpik Musim Sejuk Milano Cortina 2026 dengan kemajuan ketara.

Aruwin Salehhuddin
Aruwin Salehhuddin catatkan masa keseluruhan satu minit 54.82 saat dalam acara slalom wanita. (Gambar Aruwin Salehhuddin)
KUALA LUMPUR:
Atlet luncur alpine negara, Aruwin Salehhuddin, menamatkan kempen Sukan Olimpik Musim Sejuk Milano Cortina 2026 dengan menduduki tempat ke-44 dalam acara slalom wanita di Pusat Ski Alpine Tofane di Itali.

Menurut laman rasmi Sukan Olimpik Musim Sejuk, atlet berusia 22 tahun itu mencatatkan masa keseluruhan satu minit 54.82 saat (s).

Aruwin menunjukkan kemajuan yang ketara sepanjang hari apabila beliau menamatkan larian pertama di tempat ke-54 dengan catatan 55.09s dan melonjak 10 kedudukan pada larian kedua (59.73s).

Keputusan itu menjadi penebusan buat satu-satunya wakil Malaysia di Itali dan berjaya memperbaiki pencapaian pada penampilan pertama di Beijing 2022 apabila beliau gagal menamatkan saingan dalam acara sama.

Acara itu menyaksikan atlet Amerika Syarikat, Mikaela Shiffrin, meraih pingat emas dengan masa keseluruhan 1:39.10s.

Camille Rast dari Switzerland membawa pulang pingat perak (1:40.60s) manakala atlet Sweden, Anna Swenn Larsson, melengkapkan podium dengan pingat gangsa (1:40.81s).

Slalom ialah perlumbaan ski alpine paling pendek, dengan atlet lazimnya menamatkan perlumbaan dalam masa antara 50 hingga 60s dan mempunyai jumlah selekoh paling banyak.

Peserta perlu meluncur menuruni laluan perlumbaan, mengelilingi deretan pintu yang disusun secara rapat berturutan sehingga tiba di garisan penamat.

Jika seorang atlet gagal melepasi mana-mana pintu pada larian pertama, mereka akan menerima DNF (Did Not Finish) dan tidak dibenarkan memulakan larian kedua.

Begitu juga, jika terlepas mana-mana pintu atau meluncur keluar daripada laluan pada larian kedua akan mengakibatkan DNF, sekali gus menghalang atlet berkenaan daripada menerima keputusan akhir rasmi.

Pada Ahad lepas, Aruwin membuat penampilan yang mencabar apabila beliau gagal menamatkan acara giant slalom wanita di lokasi sama.

Sukan Olimpik Musim Sejuk Milano Cortina 2026, yang bermula pada 6 Feb akan berakhir 22 Feb.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.