Sarawak cabar tiga akta petroleum persekutuan di mahkamah

Sarawak cabar tiga akta petroleum persekutuan di mahkamah

Menurut kerajaan negeri, tiga akta termasuk Akta Kemajuan Petroleum 1974 rampas hak negeri ke atas sumber aslinya.

DEWAN DUN UNDANGAN SARAWAK
Kerajaan Sarawak fail petisyen mohon Mahkamah Persekutuan tentukan status perlembagaan tiga undang-undang persekutuan yang sudah lama wujud.
PETALING JAYA:
Kerajaan Sarawak memfailkan petisyen mencabar tiga akta persekutuan dan berhasrat menentang permohonan Petronas mendapat kejelasan kehakiman berhubung undang-undang yang mengawal selia operasinya di negeri itu.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berkata, petisyen yang difailkan di Mahkamah Persekutuan hari ini bertujuan menentukan kesahihan perlembagaan dan keberterusan pemakaian undang-undang berkenaan.

Tiga akta terbabit terdiri daripada Akta Kemajuan Petroleum 1974, Akta Pelantar Benua 1966 dan Akta Perlombongan Petroleum 1966.

Sharifah berkata, akta-akta persekutuan itu memberi kesan ke atas sempadan Sarawak yang ditetapkan sebelum Hari Malaysia, serta hak negeri itu ke atas sumber petroleum di luar pesisir dalam sempadan berkenaan.

“Akta-akta persekutuan ini menjejaskan dan merampas hak Sarawak ke atas sumber asli, termasuk minyak dan gas, yang terdapat di dasar laut pelantar benua dalam sempadan seperti yang ditakrifkan oleh Perintah dalam Majlis Sarawak 1954 dan 1958,” katanya dalam kenyataan.

“Sarawak berhak mempertahankan kepentingan dan hak sah negeri dan rakyatnya yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan serta Perjanjian Malaysia 1963, dengan memohon penghakiman Mahkamah Persekutuan mengenai keberterusan pemakaian dan kesan akta-akta persekutuan ini di Sarawak.”

Hasidah menambah, kerajaan negeri juga akan membantah permohonan kebenaran syarikat minyak negara untuk mendapatkan kejelasan berhubung rangka kerja kawal selia yang terpakai bagi mentadbir operasinya di Sarawak.

Petronas memfailkan usul itu di Mahkamah Persekutuan pada 10 Jan, bagi memastikan operasinya di negeri itu mematuhi semua undang-undang dan amalan tadbir yang terpakai.

Katanya, tindakan undang-undang itu bukan untuk mencabar aspirasi pembangunan Sarawak atau menyekat Petroleum Sarawak Bhd (Petros), aggregator gas tunggal negeri itu, tetapi bagi mendapatkan penentuan muktamad mahkamah tertinggi mengenai kedudukan undang-undang yang terpakai bagi sektor petroleum di negeri itu.

Mahkamah Persekutuan menetapkan 16 Mac untuk memutuskan permohonan Petronas.

Menjelaskan bantahan Sarawak, Hasidah berkata, permohonan Petronas tidak terletak dalam bidang kuasa asal eksklusif Mahkamah Persekutuan seperti diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Justeru, kerajaan Sarawak terpaksa turut mendapatkan penentuan Mahkamah Persekutuan di bawah Perlembagaan Persekutuan tentang kesahihan akta-akta persekutuan berkenaan setakat mana ia terpakai di Sarawak.”

Tambahnya, penentuan isu-isu perlembagaan ini turut akan memberi kejelasan mengenai rangka kawal selia industri minyak dan gas Sarawak, terutama bagi pelabur dalam sektor huluan dan hiliran.

Beliau berkata, walaupun memfailkan petisyen, kerajaan Sarawak kekal komited meneruskan perbincangan membina dengan kerajaan persekutuan ‘bagi mencapai penyelesaian secara muafakat mengenai isu-isu ini’.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.