Waspada scammer menyamar Adun tipu Bantuan Kasih Johor

Waspada scammer menyamar Adun tipu Bantuan Kasih Johor

Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi berkata semua maklumat rasmi berkaitan BKJ hanya akan diumum melalui saluran rasmi kerajaan negeri.

Onn Hafiz Ghazi
Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi menasihatkan rakyat sentiasa membuat semakan dan tidak menekan pautan mencurigakan atau berkongsi maklumat peribadi kepada mana-mana pihak tidak sah. (Gambar Bernama)
JOHOR BAHRU:
Menteri Besar Johor, Onn Hafiz Ghazi mengingatkan rakyat berwaspada dengan kegiatan penipuan atau scammer membabitkan Bantuan Kasih Johor (BKJ) yang dilaporkan sedang berleluasa.

Beliau berkata, semua maklumat rasmi berkaitan BKJ hanya akan diumum melalui saluran rasmi kerajaan Johor.

Justeru, beliau menasihati rakyat sentiasa membuat semakan dan tidak menekan pautan mencurigakan atau berkongsi maklumat peribadi kepada mana-mana pihak tidak sah.

“Saya memandang serius pendedahan pihak polis berhubung kewujudan 12 akaun TikTok disyaki menyalahgunakan teknologi kecerdasan buatan bagi meniru wajah dan suara exco kerajaan negeri untuk memperdaya rakyat.

“Perbuatan ini jenayah terancang yang tidak bertanggungjawab…sindiket ini bukan sahaja mencemarkan kepimpinan negeri, malah cuba mengeksploitasi kepercayaan rakyat dengan menggunakan logo serta identiti kerajaan negeri bagi mencuri maklumat peribadi seperti nombor telefon, nombor kad pengenalan dan maklumat akaun bank,” katanya dalam hantaran Facebook.

Beliau berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan pihak cuba mempermainkan kebajikan rakyat dan merakamkan penghargaan kepada polis yang bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia bagi mengesan dalang di sebalik akaun terbabit.

“Kita akan terus melindungi kebajikan serta keselamatan Bangsa Johor daripada ancaman jenayah siber…insya-Allah, tindakan tegas akan diambil dan dalang terlibat akan dibawa ke muka pengadilan.”

Terdahulu, Ketua Polis Johor, Ab Rahaman Arsad mengesahkan menerima laporan daripada Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Johor, Khairin-Nisa Ismail@Md On yang juga Adun Serom pada Jumaat lalu.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati akaun itu beroperasi di luar negara dan dipercayai digunakan bagi mencuri maklumat peribadi.

Bagaimanapun, Ab Rahman berkata, tiada laporan polis dibuat mangsa yang kehilangan wang akibat penipuan itu setakat ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 420/511 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.