SPRM minta bantuan kesan 4 anak Daim

SPRM minta bantuan kesan 4 anak Daim

Agensi antirasuah itu berkata empat individu itu dikehendaki bagi membantu siasatan satu kes.

SPRM meminta bantuan untuk mengesan (dari kiri) Asnida Abdul Daim, Md Wira Dani Abdul Daim, Muhammed Amir Zainuddin Daim dan Muhammed Amin Zainuddin Daim. (Gambar SPRM)
PUTRAJAYA:
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang mengesan empat individu bagi membantu siasatan satu kes dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat untuk tampil membantu.

Dalam kenyataan, SPRM memaklumkan bahawa individu berkenaan ialah Asnida Abdul Daim, Md Wira Dani Abdul Daim, Muhammed Amir Zainuddin Daim dan Muhammed Amin Zainuddin Daim.

Menurut SPRM, Asnida mempunyai alamat terakhir di No. 6, Lot 545, Lorong Pelangi Pagi D, Country Heights, 43000 Kajang, Selangor.

“Mereka yang mengenali atau mempunyai maklumat diminta menghubungi pegawai penyiasat Mohamad Da’eem Mohd Ali menerusi talian 017-9127217 atau e-mel [email protected],” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Md Wira Dani beralamat terakhir di No. 333, Jalan Kolam Air, Taman Melawati, Ulu Klang, 53100 Kuala Lumpur dan maklumat tentang beliau boleh disalurkan kepada pegawai penyiasat Ahmad Aiman Ramly melalui talian 011-61930814 atau e-mel [email protected].

SPRM memaklumkan Amir Zainuddin pula mempunyai alamat terakhir di No. 6, Persiaran Bukit Tunku, Bukit Tunku, 60480 Kuala Lumpur.

Mereka yang mengetahui keberadaannya diminta menghubungi pegawai penyiasat Muhamad Ridhwan Mat Hussain 019-9895174 atau e-mel [email protected].

Orang ramai yang mempunyai butiran tentang Amin Zainuddin yang beralamat sama dengan Muhammed Amir, boleh menghubungi pegawai penyiasat Hardiansyah Ismail 013-5639147 atau e-mel [email protected].

“SPRM meminta kerjasama masyarakat untuk membantu melancarkan proses siasatan,” menurut kenyataan itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.