
Ahli Parlimen Larut itu bagaimanapun menegaskan perkara tersebut masih di peringkat awal dan belum dimuktamadkan.
“Sedang berbincang dengan mereka bagaimana jika kita ambil alih parti tersebut. (Ya) ada perbincangan,” katanya di Parlimen.
Beliau berkata, rundingan melibatkan pelbagai pertimbangan termasuk aspek teknikal berkaitan perlembagaan parti tersebut.
“Ini semua melibatkan banyak perkara, jadi sebab itu kita sedang bincang. Bahagian teknikal termasuk soal perlembagaan,” katanya.
Kenyataan Hamzah mengukuhkan laporan sebelum ini yang mendedahkan dakwaan beliau sedang mengatur langkah untuk mengambil alih Parti Keluarga Malaysia, sebuah parti dikatakan berpotensi menyertai Perikatan Nasional (PN).
Isu tersebut timbul ketika kedudukan Hamzah sebagai ketua pembangkang menjadi tumpuan susulan gesaan beberapa pimpinan Bersatu termasuk Ketua Penerangan, Tun Faisal Ismail Aziz, menggesanya meletakkan jawatan susulan dakwaan Majlis Tertinggi PN bersetuju jawatan tersebut dikosongkan.
Bagaimanapun, Hamzah masih mendapat sokongan 13 Ahli Parlimen Bersatu yang mahu beliau kekal memimpin pembangkang.
Mengulas kenyataan Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook yang mengecam Ahli Parlimen pembangkang kerana tidak menyokong pindaan Perlembagaan itu, Hamzah menegaskan pihaknya tidak pernah menolak usul tersebut secara mutlak.
Menurutnya, blok pembangkang telah menyatakan persetujuan secara prinsip terhadap Rang Undang-Undang (RUU) bagi mengehadkan tempoh jawatan perdana menteri kepada 10 tahun, namun sokongan itu tertakluk kepada beberapa syarat yang perlu dipertimbangkan kerajaan.
“Apabila syarat-syarat tersebut tidak diambil kira, kami mengambil pendirian untuk berkecuali. Berkecuali bukan bermaksud menolak,” katanya, sambil menjelaskan keputusan tidak mengundi atau keluar dewan adalah hak setiap Ahli Parlimen.
Hamzah berkata tidak wajar pembangkang dipersalahkan atas kegagalan RUU itu melepasi undian, memandangkan kerajaan memiliki jumlah sokongan yang mencukupi untuk meluluskan pindaan Perlembagaan tersebut.
“Dengan angka 154 penyokong (Ahli Parlimen), menjadi tanggungjawab kerajaan untuk memastikan kehadiran penuh ketika undian penting, khususnya yang memerlukan sokongan dua pertiga.
“Soal kehadiran, penyelarasan dan disiplin Ahli Parlimen kerajaan adalah tanggungjawab kerajaan sendiri,” katanya.