9 tahun ‘terkandas’, Suhaili harap jambatan Labuan–Sabah jadi realiti

9 tahun ‘terkandas’, Suhaili harap jambatan Labuan–Sabah jadi realiti

Ahli Parlimen Labuan berharap kajian baharu KKR membuka laluan kelulusan projek berimpak ekonomi itu.

jambatan labuan
Suhaili Abdul Rahman berkata jambatan Labuan ke Menumbok dapat memacu ekonomi wilayah itu. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Ahli Parlimen Labuan Suhaili Abdul Rahman berharap masih ada sinar bagi pembinaan jambatan dari kawasan diwakilinya itu ke Menumbok, Sabah yang ‘terkandas’ di peringat kajian kebolehlaksanaan sejak sembilan tahun lalu.

Bercakap kepada FMT, Suhaili menjelaskan projek pembinaan sepanjang 17.5km ‘masih dalam radar Putrajaya’ di mana kini kajian dilaksana Kementerian Kerja Raya (KKR), selepas peroses sama bermula 2018 tidak lengkap dan dibatalkan.

Suhaili ada berbincang dengan Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor dan mereka senada projek itu perlu dilaksanakan untuk manfaat rakyat di kedua-dua wilayah terbabit terutama dari segi ekonomi.

“Jambatan itu akan membantu memacu ekonomi Labuan dan mengurangkan harga barang (kurang kos pengangkutan) selain memudahkan akses terutama apabila berdepan kecemasan.

Suhaili Abdul Rahman.

“Tak perlu menunggu siang untuk menghantar pesakit terpaksa dirujuk ke hospital di Kota Kinabalu, ini berlaku kerana tiada kemudahan feri pada waktu malam,” katanya yang menekankan kepentingan jambatan itu.

Suhaili turut berharap pembinaan jambatan itu dapat disiapkan dalam tempoh lima tahun selepas kerajaan meluluskan projek terbabit

Baru-baru ini, timbul persoalan oleh warganet yang menggambarkan projek jambatan Labuan-Menumbok tidak diteruskan apabila kajian kebolehlaksanaan gagal dilaksanakan seperti dirancang.

Menurut Laporan Ketua Audit Negara 1/2026, geran RM2.88 juta diperuntuk kepada Perbadanan Labuan (PL) telah dipulangkan sepenuhnya.

PL kemudian menjelaskan geran itu dipulangkan semula kepada Kementerian Kewangan pada 3 Okt 2024 selaras peraturan semasa serta perubahan dasar dibuat pentadbiran kerajaan pusat pada 2018.

Agensi itu turut menjelaskan kajian baharu dilaksanakan KKR mulai Mei 2025 yang dijangka siap November depan.

Menteri Kewangan II, Amir Hamzah Azizan, pada September tahun lalu berkata Putrajaya komited untuk merealisasikan aspirasi rakyat yang mahu melihat cadangan jambatan menghubungkan Labuan ke tanah besar Sabah menjadi kenyataan.

Kontrak kajian kebolehsanaan pertama dianugerahkan pentadbiran Najib Razak pada Januari 2018 namun tidak diteruskan selepas Barisan Nasional (BN) kalah pada PRU14.

Ketika ini, penduduk Labuan dan Sabah berulang-alik menggunanakan perkhimdatan feri termasuk jenis ro-ro dan kapal terbang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.