Bekalan makanan dalam negara tak terjejas akibat konflik Timur Tengah

Bekalan makanan dalam negara tak terjejas akibat konflik Timur Tengah

Menteri Mohamad Sabu berkata bekalan makanan negara masih stabil kerana kebanyakan negara sumber bukan dari kawasan terlibat secara langsung dalam konflik itu.

buah
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu berkata Malaysia mengimport makanan kebanyakannya dari India, Pakistan, negara Asean, Australia, Brazil dan Argentina. (Gambar Envato Elements)
PUTRAJAYA:
Konflik di negara Teluk tidak memberi kesan langsung kepada keterjaminan bekalan makanan dalam negara, kata Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu.

Setakat ini, katanya, bekalan makanan negara masih stabil kerana kebanyakan sumber import makanan Malaysia tidak datang dari kawasan terlibat secara langsung dalam konflik tersebut.

Menurutnya, sumber import makanan negara kebanyakannya dari India, Pakistan, negara Asean, Australia, Brazil dan Argentina.

“Negara-negara di rantau Timur Tengah pula lebih banyak terlibat dalam hubungan perdagangan eksport Malaysia, khususnya ke pasaran seperti Dubai dan kawasan sekitarnya.

“Dari segi sektor pertanian dan bekalan makanan negara, buat masa ini kita belum terjejas. Namun, kita tetap perlu memantau keadaan kerana tidak tahu berapa lama konflik ini akan berlarutan,” katanya selepas Program Ihya’ Ramadan bersama Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, sekiranya konflik itu berpanjangan, kesan tidak langsung mungkin berlaku, terutama melalui kenaikan harga minyak dunia.

Jelasnya, peningkatan kos tenaga boleh memberi kesan rantaian kepada harga barangan import serta kos logistik yang akhirnya mempengaruhi harga makanan.

Bagaimanapun, Mohamad berkata, isu berkaitan kemungkinan kenaikan harga minyak dan implikasinya terhadap ekonomi negara akan diperincikan Kementerian Kewangan serta Kementerian Ekonomi.

Dalam pada itu, Ketua Setiausaha kementerian, Isham Ishak, berkata bekalan beras negara mencukupi untuk lima hingga tujuh bulan akan datang, sekiranya berlaku krisis makanan.

Pada 1 Mac lalu, Anwar yang juga menteri kewangan berkata, kerajaan akan berusaha mengekalkan RON95 pada harga semasa RM1.99 seliter demi rakyat, walaupun pasaran global menghadapi ketidaktentuan susulan serangan Amerika Syarikat dan Israel ke atas Iran.

Katanya, kenaikan harga minyak mentah global berikutan sekatan ke atas Selat Hormuz dijangka memberi kesan kepada negara, tetapi kerajaan bertekad mempertahankan harga RON95 bagi program Budi Madani RON95 (BUDI95).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.