
CAS memaklumkan, tujuh pemain terbabit akan digantung 12 bulan, tetapi hanya untuk perlawanan rasmi, bukan semua kegiatan berkaitan bola sepak.
“Penggantungan perlawanan bermula hari ini (5 Mac) dengan mengambil kira tempoh dari 25 Sept hingga 26 Jan, di mana penggantungan itu telah berkuat kuasa,” katanya dalam kenyataan.
FAM dan para pemain terbabit telah mengemukakan rayuan terhadap sekatan Fifa pada 5 Dis, memohon agar hukuman tersebut dibatalkan sepenuhnya atau penalti yang setimpal dikenakan, ‘memandangkan pemain tidak bertindak dengan niat mahupun kecuaian’.
CAS berkata, panelnya mendapati penggantungan 12 bulan ialah hukuman yang munasabah dan setimpal bagi pemain terbabit atas kesalahan memalsukan dokumen, memandangkan mereka turut bersubahat dalam penipuan tersebut.
Bagaimanapun, memandangkan panel memutuskan bahawa penggantungan itu hanya terpakai untuk perlawanan rasmi, ‘pemain boleh kembali berlatih bersama kelab masing-masing sepanjang tempoh penggantungan’.
CAS turut menolak rayuan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berhubung denda 350,000 franc Swiss (kira-kira RM1.8 juta) yang dikenakan oleh Fifa.
“Panel CAS menganggap denda 350,000 franc Swiss terhadap FAM adalah wajar dan setimpal,” katanya.
FAM dan tujuh pemain warisan negara dikenakan tindakan oleh badan induk bola sepak dunia itu berhubung dokumen palsu yang dikemukakan bagi mengesahkan kelayakan pemain terbabit sebelum aksi kelayakan Piala Asia 2027 Malaysia menentang Vietnam pada 10 Jun.
Selain denda terhadap FAM, Fifa juga mendenda setiap pemain sebanyak 2,000 franc Swiss.
Tujuh pemain terbabit terdiri daripada Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel.