Naib canselor bebas tuduhan perdaya rakan sekerja

Naib canselor bebas tuduhan perdaya rakan sekerja

G Jayakumar berkata beliau bersyukur kerana segala kebenaran telah terbukti.

Mahkamah Majistret Ayer Keroh
Hakim Elizabet Paya Wan membuat keputusan membebaskan G Jayakumar selepas pihak pendakwaan menarik balik pertuduhannya di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Mahkamah Sesyen Ayer Keroh hari ini membebaskan Naib Canselor Kolej Universiti Manipal Malaysia (MUCM) G Jayakumar daripada pertuduhan memperdaya rakan sekerja untuk melantik seorang pensyarah dengan bayaran RM20,000.

Hakim Elesabet Paya Wan membuat keputusan itu selepas pihak pendakwaan menarik balik pertuduhan terhadap Jayakumar, menurut Bernama.

“Saya berasa dibela dan bersyukur kerana proses kehakiman telah selesai dan kebenaran telah terbukti,” kata Jayakumar dalam satu kenyataan.

“Saya sentiasa bertindak dengan integriti dan gembira kerana keputusan mahkamah mengesahkan perkara tersebut.

“Tumpuan saya kini kekal untuk memajukan misi akademik MUCM serta menyokong para pelajar dan tenaga pengajar.”

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Sharina Farhana Nor Sa’ari manakala Jayakumar diwakili peguam Harvinderjit Singh, Farhan Read dan Amirtha MCPirapu.

Dalam satu kenyataan, Harvinderjit berkata pertuduhan terhadap anak guamnya tidak mempunyai bukti penipuan yang disengajakan atau niat tidak jujur.

Beliau juga menyatakan bahawa Jayakumar tidak memperoleh sebarang manfaat peribadi daripada mana-mana bayaran yang dibuat, yang merupakan elemen penting untuk membuktikan kesalahan menipu.

Pertuduhan yang dikemukakan di bawah Seksyen 417 Kanun Keseksaan, mendakwa beliau bertindak bertentangan dengan kontrak perkhidmatannya serta peraturan universiti berkaitan satu kejadian lima tahun lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.