Lotus’s edar 1,400 juadah iftar kepada penghantar gig

Lotus’s edar 1,400 juadah iftar kepada penghantar gig

Program melalui inisiatif #KitakanJiran itu bertujuan menghargai penghantar gig yang turut berbakti kepada masyarakat.

Antara penghantar gig yang menerima juadah iftar menerusi kempen Senyuman Ekstra Bernilai yang dilaksanakan oleh Lotus’s Malaysia sempena Ramadan.
PETALING JAYA:
Lotuss Stores (Malaysia) Sdn. Bhd. (Lotus’s Malaysia) berkongsi kemeriahan Ramadan bersama penghantar gig dengan mengagihkan lebih 1,400 pek juadah iftar kepada mereka di beberapa bandar di seluruh negara melalui inisiatif #KitakanJiran.

Program itu adalah sebahagian daripada kempen Senyuman Ekstra Bernilai yang bertujuan menghargai usaha golongan itu yang mempunyai peranan penting dalam masyarakat terutama dalam memastikan keperluan pelanggan dihantar tepat pada masanya.

Ketua Komunikasi dan Kelestarian Lotus’s Malaysia, Hanim Hamdan, berkata, penghantar gig merupakan antara individu yang sentiasa berada di barisan hadapan membantu komuniti, termasuk sepanjang bulan Ramadan.

“Bagi kami, inisiatif ini adalah tentang menghidupkan semangat Senyuman Ekstra Bernilai dengan berkongsi rezeki bersama penghantar yang bekerja tanpa jemu memastikan komuniti kita terus bergerak, termasuk sepanjang Ramadan.

“Dengan berganding bahu bersama sukarelawan dan rakan jenama untuk menyediakan serta mengagihkan juadah iftar, kami berharap dapat menzahirkan penghargaan dan mewujudkan detik-detik kecil kebaikan di sekitar stor kami,” katanya dalam kenyataan.

Program itu bermula di Lotus’s Kota Bharu sebelum diperluaskan ke beberapa stor di Pulau Pinang termasuk Penang E-Gate, Sungai Dua, Tanjung Pinang, Seberang Jaya dan Bagan Ajam.

Inisiatif berkenaan juga diteruskan di sekitar Lembah Klang melibatkan stor Semenyih, Kajang, Shah Alam dan Ampang dengan sukarelawan Lotus’s berganding tenaga menyediakan serta mengagihkan juadah berbuka puasa kepada penghantar gig yang singgah di lokasi tersebut.

Secara keseluruhan, lebih 100 sukarelawan daripada ibu pejabat Lotus’s dan 10 stor terlibat dalam penyediaan serta pembungkusan juadah dengan kerjasama rakan komuniti.

Program itu turut menandakan tahun kelima kerjasama Lotus’s Malaysia bersama Food Aid Foundation yang sejak 2022 telah menyumbangkan lebih 6,000 hidangan kepada komuniti memerlukan menerusi pelbagai inisiatif bantuan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.