
Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berkata, mesyuarat oleh Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib dan Etika AFC, Jahangir Baglari, mendapati FAM melanggar Artikel 56 Kod Tatatertib dan Etikanya.
Ia membabitkan aksi menentang Nepal di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada 25 Mac 2025 yang menyaksikan Malaysia menang 2-0 serta perlawanan menentang Vietnam di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 10 Jun 2025 yang berkesudahan Malaysia menang 4-0.
“Sehubungan itu, Jawatankuasa Tatatertib dan Etika AFC membuat keputusan Malaysia diisytihar kalah dengan jaringan 3-0 pada kedua-dua perlawanan tersebut berdasarkan Artikel 25.1 Kod Tatatertib dan Etika AFC,” katanya dalam kenyataan.
FAM memaklumkan akan mengemukakan permohonan bertulis bagi mendapatkan alasan penuh keputusan daripada jawatankuasa berkenaan sebelum mempertimbang langkah seterusnya.
FAM dan tujuh pemain warisan negara dihukum Fifa September lalu, selepas badan induk bola sepak dunia itu mendakwa FAM mengemukakan dokumen palsu untuk mengesahkan kelayakan pemain sebelum perlawanan kelayakan Piala Asia 2027 Malaysia menentang Vietnam pada 10 Jun lalu.
FAM didenda CHF350,000 (kira-kira RM1.8 juta), manakala setiap pemain didenda CHF2,000 (kira-kira RM10,560) dan digantung 12 bulan daripada semua aktiviti berkaitan bola sepak, berkuat kuasa dari tarikh pemberitahuan.
Pada 26 Jan lalu, Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) membenarkan tujuh pemain warisan itu beraksi semula, tetapi menolak rayuan FAM terhadap denda CHF350,000 yang disifatkannya wajar dan seimbang.
CAS mengekalkan penemuan Fifa bahawa dokumen itu telah dipalsukan, tetapi pemain tidak bertindak cuai atau dengan niat.
Tujuh pemain itu terdiri daripada Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel.
Kontroversi itu menyebabkan semua ahli Jawatankuasa Eksekutif FAM meletak jawatan bagi mengelakkan digantung Fifa, sementara siasatan polis ke atas pemalsuan dokumen diteruskan.