
Hakim Alice Loke membenarkan permohonan perdana menteri untuk membatalkan saman itu dan memerintahkan Waytha membayar kos RM80,000 kepada Anwar.
Waytha memfailkan saman pemula pada Ogos tahun lalu bagi memohon Mahkamah Tinggi mengisytiharkan pemilihan Anwar sebagai Ahli Parlimen Tambun pada 19 Nov 2022 dan pelantikannya sebagai perdana menteri lima hari kemudian, batal serta tidak sah.
Menurutnya, pengampunan diraja yang diberikan kepada Anwar pada 2018 tidak menyatakan beliau dikecualikan daripada tempoh hilang kelayakan untuk bertanding dalam pilihan raya selama lima tahun seperti diperuntukkan bawah Perlembagaan Persekutuan.
“Saman pemula ini tidak mendedahkan sebarang sebab tindakan munasabah. Memandangkan ia tiada asas undang-undang, saman ini juga dianggap remeh dan menyusahkan.
“Memandangkan kedudukan undang-undang telah jelas, saman ini merupakan penyalahgunaan proses mahkamah. Saman pemula ini jelas tidak dapat dipertahankan. Tiada guna membenarkannya diteruskan.
“Akibatnya, permohonan defendan dibenarkan dan saman pemula ini dibatalkan,” kata Loke ketika menyampaikan penghakimannya.
Tegasnya, mahkamah beliau bukan mahkamah pilihan raya dan prosiding ini bukan petisyen pilihan raya.
“Plaintif meneruskan tindakan berdasarkan andaian defendan tidak layak bertanding dalam pilihan raya.
“Hujah ini silap. Persoalan mengenai hilang kelayakan dalam pilihan raya mesti ditentukan melalui petisyen pilihan raya,” katanya sambil merujuk Seksyen 33(1) Akta Kesalahan Pilihan Raya yang mewajibkan petisyen pilihan raya dibicarakan hakim pilihan raya.
Susulan itu, Waytha memberitahu media, beliau akan merayu terhadap keputusan hari ini.