Pembantu makmal didakwa bunuh penghantar barang dalam kemalangan tragis

Pembantu makmal didakwa bunuh penghantar barang dalam kemalangan tragis

R Saktygaanapathy yang sebelum ini disiasat mengikut undang-undang trafik, kini menghadapi pertuduhan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

pemandu mabuk klang
R Saktygaanapathy turut berdepan tuduhan mengambil dadah.
KLANG:
Seorang pembantu makmal berdepan hukuman mati selepas didakwa di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan membunuh seorang penghantar barang dalam kemalangan tragis di Jalan Raya Barat, Ahad lalu.

Tertuduh, R Saktygaanapathy, 28, yang sebelum ini disiasat mengikut undang-undang trafik, kini menghadapi pertuduhan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret A Karthiyayini, memandangkan kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa telah menyebabkan kematian Amirul Hafiz Omar, 33, di Jalan Raya Barat, kira-kira pukul 11.47 pagi pada 29 Mac lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan maksimum 40 tahun serta tidak kurang 12 sebatan, jika sabit kesalahan.

Dia turut didakwa mengambil dadah jenis benzo dan tetrahydrocannabinol (THC), pada hari kejadian yang pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Tertuduh mengaku salah terhadap pertuduhan itu.

Nor Nadia Abdul Majid
Nor Nadia Abdul Majid (kanan) berharap keadilan dapat ditegakkan terhadap kematian suaminya Amirul Hafiz Omar dalam kemalangan, Ahad lalu.

Sementara itu, Nor Nadia Abdul Majid, isteri kepada Amirul yang hadir pada prosiding itu berharap keadilan dapat ditegakkan terhadap kematian suaminya.

“Mana pembunuh suami saya, saya nak nyawa dibalas nyawa.”kata Nor Nadia dalam nada sebak.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya,Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan tarikh 3 Jun depan sebagai sebutan semula kes bagi menunggu laporan kimia.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.