
Ketua Biro NGO dan Sukarelawan Pemuda PKR Shafiq Iqram Abdullah berkata pemandu mabuk perlu dilihat sebagai ancaman sistemik kepada keselamatan awam, bukan sekadar kesalahan individu semata-mata.
Beliau mencadangkan kerajaan tempatan memperkenalkan konsep “dram shop liability”, di mana pengusaha premis boleh dikenakan tindakan sekiranya “terlalu banyak menghidangkan alkohol” kepada pelanggan, sebagai klausa baharu dalam lesen perniagaan premis jual alkohol.
Shafiq turut mencadangkan pengeluar minuman beralkohol diwajibkan menyumbang kepada tabung keselamatan jalan raya yang digunakan untuk membantu keluarga mangsa kemalangan akibat pemandu mabuk.
Selain itu, beliau menegaskan tempoh jualan alkohol di kedai runcit dan kedai serbaneka juga wajar dikaji semula.
Menurut Shafiq, langkah-langkah yang dicadangkan ini bukan sahaja melindungi keselamatan orang ramai, malah memastikan semua pihak dalam rantaian bekalan alkohol bertanggungjawab.
“Secara purata, Malaysia kehilangan lebih RM9 bilion setahun akibat kemalangan jalan raya termasuk kos rawatan, kerosakan harta awam, dan produktiviti yang terganggu.
“Setiap nyawa yang hilang kerana kecuaian yang boleh dicegah pada tahap penjualan minuman beralkohol merupakan kehilangan besar kepada modal insan negara,” katanya dalam kenyataan.