
Amirudin berkata mesyuarat itu susulan mesyuarat khas menteri besar dan ketua menteri bersama Perdana Menteri Anwar Ibrahim esok, akan memberi tumpuan kepada bantuan khususnya kelompok rentan, serta memastikan sokongan yang berkesan kepada sektor industri.
“Satu pasukan petugas khas juga ditubuhkan serta mesyuarat berkala bagi memastikan langkah-langkah yang dirangka dapat dilaksanakan secara tersusun dan berkesan,” katanya dalam satu kenyataan di facebook.
Amirudin juga berkata beliau memanggil sidang meja bulat khas majlis mesyuarat kerajaan negeri hari ini bagi membincangkan krisis Timur Tengah serta implikasinya terhadap ekonomi dan rakyat Selangor.
Katanya, sidang khas itu menghimpunkan beberapa pakar ekonomi, geopolitik, dan industri tenaga untuk berkongsikan analisa dan unjuran awal kesan perang ini bersama pentadbiran kerajaan Selangor.
“Sebarang implikasi terhadap Selangor pasti memberi kesan langsung kepada keseluruhan ekonomi Malaysia.
“Usaha hari ini adalah permulaan beberapa tindakan yang akan dilaksanakan di peringkat kerajaan negeri untuk menyokong usaha yang sedang digerakkan oleh kerajaan persekutuan,” katanya.
Menurutnya, kerajaan Selangor ada pengalaman menguruskan cabaran besar seperti pandemik Covid-19, banjir besar pada Dis 2021, serta letupan paip gas tahun lalu.