Setahun selepas letupan Putra Heights, NGO perbaharui desakan RCI

Setahun selepas letupan Putra Heights, NGO perbaharui desakan RCI

The Artivist Network, Greenpeace Malaysia dan RimbaWatch mendakwa beberapa isu penting terlepas pandang dalam siasatan pihak berkuasa.

Kira-kira 200 rumah dan 538 hilang tempat tinggl susulan kejadian letupan gas di Putra Heights, Subang Jaya, 1 Apr tahun lalu.
PETALING JAYA:
Tiga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sekali lagi menggesa penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung letupan dan kebakaran saluran paip gas di Putra Heights tahun lalu yang merosakkan lebih 200 rumah di kawasan Subang Jaya serta memaksa 538 penduduk berpindah.

The Artivist Network, Greenpeace Malaysia dan RimbaWatch menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap beberapa dapatan siasatan pihak berkuasa, dengan mendakwa ada isu penting yang tidak diberi perhatian.

Antara dibangkitkan aspek pengezonan antara laluan paip gas dan kawasan perumahan berhampiran, prosedur pemantauan oleh Petronas Gas Bhd, serta sama ada laporan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) disediakan bagi bahagian tertentu saluran paip berkenaan.

“Mereka juga tidak menyentuh kesan terhadap alam sekitar dan kesihatan awam susulan pelepasan kira-kira 400 juta kaki padu gas semasa insiden itu. Ini menghasilkan anggaran 27,000 tan karbon dioksida di lokasi kejadian, bersamaan pelepasan tahunan lebih 7,000 kenderaan.

“Kepekatan mendadak gas rumah hijau pada paras tinggi serta hasil sampingan pembakaran diketahui boleh menyebabkan masalah pernafasan serius dan kemerosotan fungsi kognitif,” kata NGO terbabit dalam kenyataan bersama.

Mereka berkata RCI yang dicadangkan perlu melibatkan pakar bebas untuk menyiasat punca sebenar kejadian, dengan hasil siasatan didedahkan kepada umum.

Selain itu, RCI juga perlu menilai semula langkah keselamatan sedia ada bagi integriti saluran paip gas, pelan bandar dan peta laluan paip bagi memastikan pematuhan terhadap peraturan, tambah mereka.

NGO berkenaan turut menggesa Suruhanjaya Tenaga menetapkan dan menguatkuasakan piawaian keselamatan saluran paip gas, termasuk mewujudkan zon penampan berdasarkan formula radius kesan potensi.

“Mereka juga perlu memastikan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 serta garis panduan EIA mewajibkan zon penampan dan penilaian risiko teknikal bagi penduduk di kawasan sekitar,” menurut kenyataan itu.

Letupan saluran paip gas pada 1 April tahun lalu menyaksikan api menjulang lebih 30 meter dengan suhu mencecah 1,000 darjah Celsius. Walaupun tiada kematian dilaporkan, kira-kira 150 individu mendapatkan rawatan di hospital.

Kebakaran itu turut menghasilkan kawah sedalam 10 meter berukuran 21 meter kali 24 meter. Sebanyak 81 rumah musnah sepenuhnya, 81 lagi mengalami kerosakan separa, manakala 57 rumah terjejas akibat haba dan serpihan.

Siasatan pihak berkuasa tidak menemui unsur jenayah, dengan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan menyatakan kegagalan paip berpunca daripada beban berulang serta sokongan tanah yang tidak mencukupi.

Sehingga kini, 36 penduduk terjejas telah memfailkan saman terhadap Petronas Gas, Hong & Hong Homes Sdn Bhd, Pinterest Ventures Sdn Bhd, Majlis Bandaraya Subang Jaya serta kerajaan berhubung insiden itu.

Mereka menuntut pampasan bagi kerugian melibatkan kerosakan harta benda, masalah kesihatan dan tekanan emosi, selain mahukan keadilan serta ketelusan daripada pihak berkuasa.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.