Penganalisis sangkal dakwaan Petronas kaut keuntungan durian runtuh

Penganalisis sangkal dakwaan Petronas kaut keuntungan durian runtuh

Samirul Ariff Othman berkata, pihak buat dakwaan sedemikian gagal faham cara sistem tersebut sebenarnya berfungsi.

Isham Jalil and Samirul Othman tile pic 4426
Samirul Ariff Othman (kanan) bidas tuduhan Isham Jalil bahawa Petronas gagal dedah ‘keuntungan bersih tambahan’ susulan krisis Asia Barat.
PETALING JAYA:
Seorang penganalisis minyak dan gas menyangkal dakwaan bahawa Petronas sedang mengaut keuntungan durian runtuh secara senyap-senyap ekoran krisis tenaga global ketika ini, menyifatkan hujah tersebut gagal memahami operasi sebenar sistem berkenaan.

Profesor Adjung Universiti Teknologi Petronas Samirul Ariff Othman berkata, kritikan mutakhir ini terhadap Petronas serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tengku Muhammad Taufik Aziz, adalah berasaskan tafsiran yang terlalu cetek mengenai dinamik pasaran dan peranan syarikat tersebut.

Kritikan itu disuarakan selepas satu wawancara televisyen pada Jumaat di mana Tengku Muhammad Taufik menghuraikan faktor harga minyak global yang tinggi tidak secara automatik diterjemahkan kepada keuntungan luar biasa buat Petronas.

Antara yang melontarkan kritikan termasuk bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Isham Jalil, yang mendakwa penjelasan tersebut terlalu asas dan gagal merungkai isu pokok.

“Jika harga naik, sudah semestinya Petronas jana lebih banyak wang. Persoalan sebenar adalah berapa banyak unjuran keuntungan tambahan yang mereka raih,” kata Isham, menambah bahawa Petronas tidak mendedahkan ‘keuntungan bersih tambahan’ kesan daripada krisis terbabit.

Beliau turut mempertikaikan struktur perdagangan minyak mentah Malaysia, dengan menegaskan bahawa negara mengeksport minyak gred tinggi dan mengimport minyak mentah lebih murah, justeru wajar menjana keuntungan walaupun volum import lebih tinggi.

Isham turut menegaskan bahawa Petronas masih belum menjelaskan secara terperinci mengenai perolehan daripada eksport LNG, sebaliknya terlalu menumpukan pada lonjakan kos.

Sekadar untuk kefahaman awam

Mengulas kritikan berkenaan, Samirul berkata, kenyataan CEO tersebut tidak bermaksud mendedahkan perincian kewangan yang komprehensif.

“Apa yang disampaikan adalah penjelasan asas bagi tujuan kefahaman awam. Pendekatan itu amat bertepatan dengan konteks wawancara berkenaan,” katanya.

Menurutnya, butiran terperinci mengenai keuntungan dan kos lazimnya didedahkan menerusi laporan kewangan rasmi, bukannya dalam wawancara terbuka, apatah lagi apabila krisis ini tercetus dalam tempoh yang singkat.

“Kita tidak boleh secara semberono keluarkan angka keuntungan yang tepat ikut masa nyata bagi satu situasi yang masih berlarutan. Ia tertakluk pada pelaporan yang berstruktur,” katanya.

Samirul berkata, tanggapan bahawa harga minyak yang tinggi secara automatik menyumbang kepada lonjakan keuntungan adalah tersasar daripada tindak balas sebenar sistem ketika waktu krisis.

“Secara kasarnya, pasaran memandang pada harga. Namun, sistemlah yang menyerap kejutan tersebut,” katanya.

Walaupun harga minyak global telah melonjak kepada hampir USD120 setong, beliau menjelaskan, ia didorong bersama lonjakan kos yang drastik.

Kadar perkapalan yang melalui laluan maritim utama seperti Selat Hormuz telah melambung sehingga tiga kali ganda, manakala premium insurans di zon konflik mencatatkan kenaikan mendadak mencecah 337% kadar tertinggi dalam tempoh dua dekad.

“Ini bukanlah kenaikan yang marginal. Ia merombak secara ketara struktur kos merentasi keseluruhan sistem,” katanya menambah, harga minyak mentah itu sendiri telah meningkat sekitar 40%, sekali gus menaikkan kos input bagi proses penapisan dan pemprosesan.

Harga kontrak LNG tidak berubah semalaman

Menjawab hujah Isham berhubung LNG, Samirul menyifatkan tanggapan bahawa lonjakan harga global akan serta-merta melonjakkan keuntungan adalah tersasar, memandangkan sebahagian besar komoditi tersebut dijual menerusi kontrak jangka panjang, kebiasaannya merangkumi tempoh 10 hingga 20 tahun.

Lazimnya, kontrak berkenaan bersandarkan formula harga yang terikat dengan penanda aras minyak dengan sela masa, ditetapkan dalam julat tertentu, atau dirunding lebih awal.

“Ini bermakna jika harga catat lonjakan secara tiba-tiba, perolehan syarikat tidak akan melambung serta-merta secara selari,” jelasnya.

Tambahnya, pergerakan kenaikan harga selalunya berlaku dengan sedikit sela masa, dan bukan semua volum terdedah kepada harga pasaran semerta.

“Pada masa sama, kos pengeluaran, pencecairan dan pengangkutan LNG turut meningkat ketika krisis. Justeru, kesan bersihnya adalah jauh lebih munasabah berbanding andaian umum.”

Samirul berkata, hujah Isham seolah-olah menganggap Petronas sebagai penjual minyak bersegmen tunggal, sedangkan syarikat minyak negara itu beroperasi merentasi sektor huluan, pertengahan dan hiliran, di mana setiap segmen menanggung impak yang berbeza-beza.

Beliau menyentuh keputusan kewangan mutakhir Petronas yang memaparkan penyusutan keuntungan selepas cukai kepada RM45.5 bilion bagi tahun kewangan 2025 berbanding sekitar RM55 bilion pada tahun sebelumnya, meskipun berdepan persekitaran harga tenaga yang tinggi.

“Jika benar terdapat keuntungan durian runtuh yang ketara merentasi sistem tersebut, sudah pasti ia akan diterjemahkan pada angka keseluruhannya.”

“Sebaliknya, apa yang kita saksikan adalah tekanan ke atas margin,” katanya menambah, perolehan daripada operasi huluan sering kali diimbangi oleh lonjakan kos dan prestasi yang lebih perlahan di segmen lain, khususnya bagi aktiviti hiliran.

Mengulas hujah Isham berhubung perdagangan minyak mentah, Samirul berkata, kedudukan Malaysia mencerminkan hakikat struktur pasaran, lantas menarik perhatian kepada fakta bahawa negara telah menjadi pengimport bersih komoditi tersebut sejak sekitar 2014 atau 2015.

Pengeluaran tempatan mencatat sekitar 350,000 tong sehari, berbanding keperluan penapisan yang mencecah hampir 700,000 tong sehari, sekali gus mewujudkan lompang bekalan yang wajib diisi menerusi import.

“Ini bukanlah semata-mata konsep beli pada harga rendah dan jual pada harga tinggi. Ia berkisar pada usaha memadankan konfigurasi kilang penapis serta memenuhi keperluan bahan api negara.”

Dalam pada itu, Malaysia kekal memegang status sebagai pengeksport utama gas asli dan LNG, sungguhpun Samirul menegaskan bahawa perolehan LNG diimbangi oleh struktur kontrak jangka panjang.

Sumbangan Petronas kepada sistem

Mengulas dakwaan meluas kononnya Petronas menyimpan lebihan keuntungan, Samirul menjelaskan bahawa syarikat itu memulangkan sebahagian besar perolehannya kepada kerajaan.

Sepanjang lima tahun lalu, Petronas menyumbang lebih 20% daripada hasil kerajaan persekutuan, dengan agihan dividen lazimnya antara RM20 bilion hingga RM32 bilion setahun. Secara kumulatif sejak 1974, Petronas telah menyalurkan sekitar RM1.6 trilion kepada perbendaharaan negara.

“Dana berkenaan diguna pakai bagi menampung perbelanjaan awam, termasuk penyediaan subsidi dan infrastruktur,” katanya.

Samirul berkata, polemik tersebut mencerminkan wujudnya salah faham umum terhadap fungsi sistem tenaga apabila berdepan tekanan.

“Naratif yang mengaitkan kenaikan harga secara automatik dengan lonjakan keuntungan bunyinya memang menarik, namun ia tidak relevan dalam sistem bersepadu yang sedang berdepan gangguan,” katanya menambah, dalam situasi sedemikian, setiap kenaikan harga akan diiringi dengan peningkatan kos, risiko serta kerumitan operasi.

Beliau berkata, walaupun elemen semak dan imbang itu penting, wacana awam harus berlandaskan realiti operasi sebenar sistem berkenaan, menyifatkan isu pokok di sini bukanlah mengenai keuntungan yang disembunyikan, tetapi ‘kerumitan (operasi) yang disalah erti’.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.