Ismail Sabri bangga anak YKM raih hingga 10A dalam SPM 2025

Ismail Sabri bangga anak YKM raih hingga 10A dalam SPM 2025

Enam daripada 32 pelajar Yayasan Keluarga Malaysia mencatat keputusan cemerlang, dengan seorang memperoleh 10A.

Ismail Sabri Yaakob bersama Isam Isa menziarah Nur Aqilah Alya yang memperoleh 9A dalam SPM 2025 di Felda Jelai 4, Gemas.
PETALING JAYA:
Enam daripada 32 anak Yayasan Keluarga Malaysia (YKM) mencatat keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025, termasuk seorang yang memperoleh 10A.

Pengerusinya Ismail Sabri Yaakob berkata kejayaan itu bukan sekadar pencapaian akademik, tetapi bukti kekuatan semangat dan ketabahan mereka dalam mengharungi cabaran hidup.

Pelajar terbaik, Aisyah Maharuddin dari Sekolah Menengah Agama Repah, memperoleh 10A.

Turut mencatat keputusan cemerlang ialah Nur Aqilah Alya Mohamad (9A, Sekolah Menengah Sains Tuanku Jaafar), Nurhanani Ainan Khafizan (9A, SMK Abdul Rahman Talib), dan Nurul Iffah Hafshah Irwan (8A, Sekolah Menengah Sains Kuala Terengganu).

Ismail Sabri Yaakob bersama Isam Isa menziarah Nur Aqilah Alya yang memperoleh 9A dalam SPM 2025 di Felda Jelai 4, Gemas.

Dua lagi pelajar, Nur Afiqah Najla Maharin (MRSM Bentong) dan Anis Shazrina Anuar (SMK Bandar Puteri Jaya), masing-masing memperoleh 5A.

Ismail Sabri berkata kejayaan itu membuktikan usaha memperkasa pendidikan dan kebajikan anak-anak Keluarga Malaysia berada pada landasan tepat.

“Ini bukan sekadar pencapaian akademik, tetapi manifestasi kekuatan jiwa dan keazaman tinggi anak-anak yang telah melalui pelbagai cabaran kehidupan,” katanya selepas menziarah Aisyah di Taman Asahan Indah, Gemencheh.

Bersama Ahli Parlimen Tampin Isam Isa, bekas perdana menteri itu turut menziarah Nur Aqilah Alya di Felda Jelai 4, Gemas.

Kedua-dua pelajar itu menerima Bantuan Kecemerlangan SPM 2025 sebagai penghargaan atas kejayaan mereka.

Ismail Sabri berkata YKM akan terus membantu pelajar lain melanjutkan pengajian, termasuk dalam bidang TVET, dengan kerjasama agensi seperti Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan kolej kemahiran.

Katanya, semua anak YKM yang memperoleh 5A ke atas akan menerima bantuan kecemerlangan yang akan dikreditkan ke akaun masing-masing.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.