Kepimpinan bertanggungjawab mampu selesaikan isu geran Sabah, Ku Li beritahu Jo-Anna Rampas

Kepimpinan bertanggungjawab mampu selesaikan isu geran Sabah, Ku Li beritahu Jo-Anna Rampas

Tengku Razaleigh Hamzah berkata usaha generasi muda mahu melangkah ke hadapan wajar disokong.

Tengku Razaleigh
Dalam temu bual bersama Tengku Razaleigh Hamzah, hos Jo-Anna Rampas berkata pentadbiran Madani telah mencapai kemajuan ketara dalam isu berkaitan MA63, namun rakyat Sabah memberi perhatian khusus terhadap isu geran khas.
PETALING JAYA:
Tengku Razaleigh Hamzah menyeru kepimpinan bertanggungjawab tampil menyelesaikan isu tuntutan 40% hasil Sabah yang telah berlarutan sekian lama sambil menegaskan perkara itu tidak sepatutnya menjadi beban kepada generasi akan datang.

Menurut beliau, Putrajaya dan Sabah perlu berusaha menamatkan rundingan berpandukan Perlembagaan Persekutuan, yang menjadi asas kepada hubungan dan tanggungjawab kedua-dua pihak.

Dalam temu bual eksklusif bersama FMT, Tengku Razaleigh memberitahu hos Jo-Anna Rampas bahawa hak Sabah untuk menerima 40% daripada hasil Persekutuan yang dijana di negeri itu tidak pernah dipersoalkan.

Namun kaedah pengiraan dipersetujui bersama oleh Pusat dan Sabah belum dimuktamadkan ialah kaedah pengiraan yang dipersetujui bersama oleh kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri.

“Perkara 40% berkenaan memang sudah termaktub dalam perjanjian,” kata bekas menteri kewangan itu.

“Jadi sekarang, kita hanya perlu ada pasukan yang menelitinya dan memuktamadkan secara berperingkat. Saya tidak lihat ini sebagai masalah besar.”

Beliau turut menegaskan sebarang perbezaan pandangan harus diselesaikan melalui rundingan, bukannya perdebatan berpanjangan.

“Apa sahaja perbezaan, selesaikanlah demi masa depan. Masalah yang ada sekarang perlu ditangani,” katanya.

“Penyelesaiannya mesti melalui rundingan yang munasabah dan berasaskan logik. Tiada perkara yang tidak boleh diselesaikan.”

Apabila ditanya sama ada isu terbabit berpunca daripada kekurangan keazaman politik, Tengku Razaleigh berkata perkara terbabit memerlukan kepimpinan yang benar-benar bertanggungjawab dan fokus kepada penyelesaian.

“Golongan muda mahu maju ke hadapan dan kita harus menyokong usaha itu,” katanya.

Jo-Anna, yang berasal dari Sabah, mengakui kerajaan Madani telah mencapai kemajuan dalam pelbagai perkara berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), seperti ditunjukkan melalui Dashboard MA63 kerajaan Persekutuan.

Namun, katanya, rakyat Sabah memberi perhatian yang sangat dekat terhadap isu geran khas 40% itu.

“Saya akui kerajaan Madani telah melakukan banyak perkara, khususnya untuk Sabah. Itu memerlukan kemahuan politik,” katanya.

Tengku Razaleigh turut menegaskan tidak wajar rundingan seperti itu berlarutan sehingga merentasi generasi.

“Saya rasa jawatankuasa perlu bekerja lebih keras dan menyelesaikannya secepat mungkin,” katanya.

Pada Oktober 2025, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu mengesahkan hak Sabah di bawah Perlembagaan untuk menerima 40% daripada hasil bersih Persekutuan yang dikutip di negeri itu, serta mengarahkan kedua-dua kerajaan menamatkan rundingan dalam tempoh 180 hari, iaitu sebelum 15 April.

Kerajaan Persekutuan tidak membuat rayuan terhadap keputusan berkenaan hak tersebut dan Perdana Menteri Anwar Ibrahim turut menyatakan komitmen untuk menghormatinya.

Namun, beberapa aspek lain dalam kes itu masih dalam proses rayuan. Antaranya termasuk dapatan Mahkamah Tinggi bahawa kedua-dua kerajaan telah bertindak secara tidak sah sejak 1974, serta proses semakan selepas 2021 yang didakwa tidak mengikut prosedur dan bercanggah dengan undang-undang.

Putrajaya juga telah memohon kepada Mahkamah Rayuan untuk menangguhkan pelaksanaan perintah Mahkamah Tinggi sementara menunggu keputusan rayuan. Peguam Besar Sabah, Brenndon Keith Soh, berkata kerajaan negeri akan menentang permohonan tersebut.

Isu utama yang masih belum diselesaikan ialah bagaimana kadar 40% itu harus dikira, memandangkan kedua-dua pihak berbeza pandangan tentang jenis hasil yang perlu dimasukkan sebagai hasil yang diperoleh daripada Sabah.

Anwar sebelum ini memberitahu Parlimen kerajaan Persekutuan sedang menentukan kategori hasil iaitu di bawah tanggungjawab Persekutuan dan Sabah.

Selagi perkara itu belum dipersetujui, jumlah sebenar tidak dapat ditentukan.

Rundingan mengenai formula tersebut masih berjalan dan isu ini dijangka menjadi tumpuan utama di Sabah menjelang PRU16 yang perlu diadakan selewat-lewatnya pada 2028.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.