
Chin Yee Mun berpandangan keadaan itu boleh menonjolkan kelemahan gabungan terbabit manakala Mazlan Ali menjangkakan polemik baharu yang akan timbul berisiko menjejaskan hubungan dua parti utama PN berkenaan.
“Sekiranya PN lambat melantik ketua pembangkang baharu, ia jelas menunjukkan kelemahan dalam pembangkang kerana Hamzah tidak mempunyai kedudukan dalam parti gabungan,” kata Chin dari Universiti Tunku Abdul Rahman kepada FMT.
Beliau turut berpandangan situasi itu memberi gambaran seolah-olah PAS tidak mengambil kira sensitiviti rakan gabungannya, Bersatu.
“Ketua pembangkang ketika ini adalah bekas ahli Bersatu yang telah dipecat. Semakin lama beliau tidak diganti, semakin kuat persepsi bahawa PAS tidak mengendahkan perasaan Bersatu,” katanya.
Jumaat lalu, Hadi, presiden PAS dilaporkan berkata pelantikan ketua pembangkang baharu akan diputuskan sebelum sidang Parlimen pada Jun ini, iaitu selepas perbincangan menyeluruh melibatkan semua parti komponen.
Bagaimanapun, Sinar Harian semalam melaporkan Muhyiddin yang menerajui Bersatu pula berpandangan tidak perlu menunggu sehingga itu dan menegaskan kelewatannya boleh menjejaskan maruah serta imej PN di mata rakyat.
Merujuk kepada Hamzah yang tanpa parti selepas dipecat Bersatu, Februari lalu, Muhyiddin juga berkata, tidak wajar orang yang tidak layak masih berlegar-legar menggunakan kedudukan sebagai ketua pembangkang.
Pengerusi PN Ahmad Samsuri Mokhtar sebelum ini berkata ketua pembangkang baharu yang dipersetujui dari PAS akan dibuat pada penghujung Mac lalu namun tiada sebarang pengumuman mengenainya.
Mazlan dari Universiti Teknologi Malaysia pula berkata percanggahan pendirian itu dilihat berpotensi mencetuskan polemik baharu dalam PN.
Menurutnya, pendirian PAS yang tidak menyegerakan penggantian memberi gambaran parti itu tidak mempunyai masalah dengan Hamzah terus memegang jawatan tersebut.
“Jika PAS benar-benar selari dengan Bersatu, mereka sepatutnya bertindak segera menggugurkan Hamzah dan melantik pengganti.
“Situasi ini membuka ruang kepada polemik berpanjangan dan menyebabkan jurang antara PAS dan Bersatu semakin melebar dalam PN,” katanya.