
Menurut Sanusi, peserta himpunan itu sanggup mengeluarkan wang sendiri untuk mengisi minyak motosikal kerana merasakan terdapat isu lebih besar yang sedang membebankan negara ketika ini.
“Bagi peserta, berbanding isu harga minyak mahal, ada perkara lain yang lebih membebankan negara ketika ini, iaitu kerajaan pusat Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) yang pada pandangan mereka perlu diturunkan pada PRU akan datang.
“Sebab itu mereka sanggup hadir dan menyokong program anjuran Perikatan Nasional (PN). Mereka juga setuju dengan usaha memperkukuh perpaduan ummah, khususnya penyatuan Islam dan Melayu, sebab itu mereka datang beramai-ramai,” katanya kepada FMT, sambil menambah, ini membuktikan semangat akar umbi PN masih kukuh.
Sanusi turut menyamakan tindakan tersebut dengan usaha rakyat Iran yang menderma untuk melawan Amerika Syarikat (AS) dan Israel.
“Kenapa mereka sanggup? Sebab mereka melihat bahaya kejahatan AS dan Israel lebih besar daripada kesan kehilangan harta benda mereka.
“Sama juga dengan kami. Bahaya politik PH dan BN ketika ini lebih besar daripada habis duit poket untuk beli minyak motosikal,” tegasnya.
Sabtu lepas, PN mengadakan konvoi motosikal, melibatkan menteri besar Perlis, Terengganu, Kedah dan Kelantan, yang ditadbir pembangkang.
Acara yang dilaporkan dihadiri lebih 100,000 peserta itu diadakan sempena Perhimpunan Penyatuan Ummah Antarabangsa Kelima bersama Himpunan Dunia Melayu 2026 di Kompleks Sukan Terengganu, Kuala Nerus.
Nurul Izzah Anwar bagaimanapun tampil mengkritik acara tersebut, menyifatkannya sebagai pembaziran besar-besaran ketika dunia berdepan krisis tenaga global.
Timbalan presiden PKR itu berkata, kerajaan di seluruh dunia sebaliknya sedang bertindak segera menangani krisis bahan api dengan menjimatkan penggunaan, membina simpanan dan mempersiapkan ekonomi masing-masing menghadapi ketidaktentuan yang berpanjangan.
Dalam pada itu, Sanusi yang juga pengarah pilihan raya PAS menyindir Nurul Izzah supaya memberi tumpuan kepada isu dalaman PKR terlebih dahulu sebelum mengkritik program pihak lain.
“Beritahu adinda Nurul Izzah, selesaikan dulu masalah dalam ‘rumah tangga’ sendiri sebelum sibuk dengan program orang lain. Mereka sekarang pun sedang berperang teruk susulan perebutan jawatan timbalan presiden PKR tempoh hari.
“Apabila masalah parti diheret menjadi masalah kerajaan dan akhirnya masalah negara, semuanya jadi berselerak. Bukan mereka yang rugi, tetapi rakyat yang akhirnya menanggung kesan,” katanya.