Biodiesel B100 mampu jadi sumber tenaga alternatif lebih kompetitif

Biodiesel B100 mampu jadi sumber tenaga alternatif lebih kompetitif

Pengerusi Felda Ahmad Shabery Cheek berkata pelaksanaan B100 ketika ini masih di peringkat dasar.

AHMAD SHABERY CHEEK
Pengerusi Felda Ahmad Shabery Cheek (kanan) dan pegawai lain bersama sebuah SUV yang menggunakan biodiesel B100 di Menara Felda hari ini. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Pengenalan B100, biodiesel berasaskan 100% minyak sawit berpotensi menjadi sumber tenaga alternatif lebih kompetitif dan berdaya tahan dalam menghadapi ketidaktentuan akibat krisis Asia Barat.

Pengerusi Felda, Ahmad Shabery Cheek, berkata pelaksanaan B100 ketika ini masih di peringkat dasar dan akan dimulakan dengan penggunaan dalam ekosistem tanah rancangan itu terlebih dahulu.

“Saya telah mengemukakan perkara ini (pelaksanaan B100) kepada Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi dan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

“Pada masa ini, kita memerlukan satu dasar kerajaan (yang jelas), kerana jika dilaksanakan serta-merta, bekalan (minyak sawit mentah) mungkin tidak mencukupi,” katanya kepada pemberita pada sidang media.

Shabery berkata, harga B100 di peringkat kilang dianggarkan sekitar RM4.50 seliter, bergantung pada harga minyak sawit mentah.

Katanya, dengan anggaran harga bawah RM5 seliter, penggunaan B100 bukan sahaja mampu mengurangkan kebergantungan kepada diesel, malah membuka ruang kepada strategi penstabilan harga bahan api domestik serta memperkukuh keterjaminan tenaga negara.

Dalam pada itu, beliau berkata Felda dan FGV Holdings Bhd perlu memperluas pembangunan loji pemprosesan biodiesel B100 bagi meningkatkan kapasiti pengeluaran.

“Kami sedang mengadakan rundingan bagi menentukan bentuk kerjasama, sama ada melibatkan sektor swasta sepenuhnya, sokongan kerajaan atau pihak lain, dalam usaha memenuhi keperluan peningkatan kapasiti B100,” katanya.

Sejak 2025, projek rintis penggunaan B100 biodiesel dilaksanakan melibatkan kenderaan penumpang selama 15 bulan dengan jarak perjalanan melebihi 50,000km.

Shabery berkata, ujian percubaan selama empat bulan menggunakan lori tangki turut dijalankan pada 2024.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.