
Pengarah JKDM Selangor, Mohamad Azhar Ahmad Paharazi, berkata rampasan itu dibuat menerusi tiga siri Ops Petasan pada 12 Feb, serta 2 dan 9 Mac hasil risikan terhadap dagangan tanpa permit sah.
“Penemuan sirip ikan yu itu sebenarnya berjaya dikesan di dalam tiga kontena dagangan dari sebuah negara di benua Amerika Selatan.
“Nilai dagangan dianggarkan berjumlah RM7.1 juta, manakala duti dan cukai yang terlibat dianggarkan sebanyak RM1.1 juta,” katanya pada sidang media di ibu pejabat JKDM Pelabuhan Utara.
Azhar berkata, sirip ikan yu itu mempunyai nilai pasaran tinggi serta menjadi antara bahan dalam hidangan premium dan siasatan lanjut mendapati bekalan tersebut disasarkan untuk pasaran tempatan, khususnya restoran mewah.
Beliau berkata, pengimport menggunakan taktik pengisytiharan palsu dengan melabelkan barangan sebagai kulit ikan kering dan makanan kering bagi mengelakkan pengesanan.
Katanya, pengimportan sirip ikan yu kering tertakluk kepada permit import dikeluarkan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) sebagaimana Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023, serta Permit Import Convention on International Trade in Endangered Species of Wild Fauna and Flora (CITES) daripada Jabatan Perikanan Malaysia (DOF).
Kes disiasat bawah Seksyen 135(1)(a) dan Seksyen 133(1)(a) Akta Kastam 1967.
Dalam kes berasingan, JKDM Selangor turut merampas 112.8 tan daging ayam dan babi sejuk beku bernilai RM2.2 juta tanpa permit sah pada 6 Feb di lokasi sama.
“Empat kontena berkenaan mengandungi daging ayam dan babi sejuk beku tanpa permit import sah. Dagangan itu dipercayai untuk pasaran tempatan, terutama bagi menampung permintaan semasa musim perayaan Aidilfitri dan Tahun Baharu Cina, baru-baru ini.
“Siasatan mendapati kontena terbabit tiba pada 16 dan 20 Januari lepas dari sebuah negara di Asia serta tidak mematuhi keperluan permit di bawah Maqis,” katanya.
Kes disiasat bawah Seksyen 135(1)(a) dan Seksyen 133(1)(a) Akta Kastam 1967.