Laluan akses khas diperkenal jamin bekalan ubat

Laluan akses khas diperkenal jamin bekalan ubat

Menteri Ekonomi Akmal Nasir berkata Putrajaya juga sedang merancang mewujudkan simpanan stok strategik negara bagi jangka masa panjang.

Akmal Nasrullah Nasir
Menteri Ekonomi Akmal Nasir, berkata krisis tenaga global memberikan kesan kepada bekalan bahan api dan ketersediaan bekalan perubatan penting. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kerajaan akan memperkenalkan laluan akses khas sebagai langkah jangka pendek memastikan bekalan ubat-ubatan dan peranti perubatan kritikal di negara ini sentiasa terjamin, di sebalik krisis Timur Tengah.

Menteri Ekonomi Akmal Nasir, berkata krisis itu bukan sahaja menjejaskan bekalan bahan api, malah ketersediaan input perubatan utama disebabkan gangguan dalam pengeluaran dan logistik global.

“Gangguan rantaian bekalan global boleh menyebabkan kekurangan bahan mentah penting seperti API, petroleum, dan gas etilena oksida, sekali gus menaikkan kos pengilangan dan penghantaran,” katanya pada taklimat krisis tenaga global disiarkan secara langsung di stesen televisyen.

Sebagai sebahagian langkah jangka pendek, kerajaan akan memantau tahap stok ubat-ubatan secara berpusat dan mempelbagaikan sumber import bagi mengurangkan kebergantungan kepada mana-mana pembekal tunggal.

Ubat-ubatan tertentu juga mungkin akan diwartakan sebagai barang kawalan jika perlu.

Bagi jangka panjang, Akmal berkata kerajaan merancang mewujudkan simpanan stok strategik negara dan memperkukuh industri farmaseutikal tempatan demi meningkatkan daya tahan bekalan.

Sebelum ini, Kementerian Kesihatan berkata bekalan ubat-ubatan kekal stabil, dengan fasiliti kerajaan mengekalkan stok untuk tempoh satu hingga tiga bulan, disokong simpanan penimbal dipegang syarikat konsesi swasta yang membekalkan ubat melalui perjanjian logistik.

Akmal turut memaklumkan, Bank Negara Malaysia akan menyediakan sokongan kepada syarikat-syarikat yang terkesan disebabkan kekurangan bahan api, manakala kerajaan akan memanfaatkan data untuk mengenal pasti, mengesan, dan bertindak balas dengan lebih baik terhadap tekanan pada sektor yang paling terjejas akibat konflik itu.

Walaupun bekalan barangan keperluan dijangka kekal stabil sepanjang April dan Mei, Akmal berkata usaha memastikan bekalan tenaga mencukupi bermula Jun dan seterusnya akan menjadi cabaran terbesar.

“Krisis ini dijangka memberi kesan kepada ekonomi dan proses pemulihan dalam tempoh enam bulan hingga setahun,” katanya.

Terdahulu hari ini, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata Malaysia dijangka tidak akan menghadapi kekurangan bekalan minyak dalam tempoh terdekat meskipun timbul ketidaktentuan harga susulan konflik Iran, yang melonjakkan harga minyak mentah di tengah-tengah kebimbangan mengenai Selat Hormuz.

Sebelum ini, beliau berkata negara mempunyai bekalan petrol RON95 mencukupi untuk mengekalkan harga bersubsidi pada RM1.99 seliter, sekurang-kurangnya sehingga Mei.

Namun, Putrajaya telah menaikkan harga diesel di Semenanjung, RON97, dan RON95 tanpa subsidi secara signifikan dalam beberapa minggu sejak konflik tersebut meletus.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.