Penjawat awam digalak pakai baju batik setiap hari

Penjawat awam digalak pakai baju batik setiap hari

Ia sebagai alternatif kepada pakaian pejabat susulan langkah laras suhu penyaman udara kepada minimum 24 darjah Celsius bagi penjimatan tenaga.

orang awam baju batik
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata ketetapan itu selaras dengan pekeliling perkhidmatan sumber manusia mengenai Etika Pakaian dan Penampilan pegawai awam. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Kerajaan menggalakkan penjawat awam memakai baju batik setiap hari bekerja sebagai alternatif kepada pakaian pejabat susulan langkah menyelaras suhu penyaman udara kepada minimum 24 darjah Celsius bagi penjimatan tenaga.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata ketetapan itu selaras dengan Pekeliling Perkhidmatan Sumber Manusia Ceraian UP.7.2.3 mengenai Etika Pakaian dan Penampilan pegawai awam.

“Di bawah perenggan 5, Jadual 1 (iii): Pakaian Pegawai Lelaki Ketika Menjalankan Tugas dan perenggan 8, Jadual 2 (ii): Pakaian Pegawai Wanita Ketika Menjalankan Tugas, pemakaian baju batik adalah diwajibkan setiap hari Khamis dan digalakkan dipakai pada setiap hari bekerja sebagai alternatif kepada pakaian pejabat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam surat edaran kepada ketua setiausaha kementerian dan setiausaha kerajaan negeri yang dimuat naik di Facebook Jabatan Perkhidmatan Awam.

Wan Dahlan berkata selain itu, ketua jabatan boleh membenarkan pegawai bertugas memakai baju korporat atau baju kerja lapangan pada hari tertentu untuk tujuan tertentu semasa bertugas selaras dengan perenggan 13 Ceraian UP.7.2.3.

“Pegawai juga dibenarkan memakai baju korporat setiap hari kecuali pada Khamis… namun, ketetapan ini adalah dikecualikan bagi pegawai yang disyaratkan memakai pakaian seragam,” katanya.

Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof berkata kawalan penggunaan tenaga di bangunan kerajaan akan diperketat termasuk menetapkan suhu penyaman udara pada minimum 24 darjah Celsius.

Langkah itu mencerminkan komitmen kerajaan untuk memimpin melalui teladan dalam penggunaan tenaga secara berhemat, selain menjadi antara pendekatan proaktif dalam mendepani krisis tenaga global.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.