
Berdasarkan maklumat daripada pengimport, Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Bhd, Ameer Ali Mydin, mengesahkan jangkaan kerajaan tentang kenaikan harga barang yang beliau ramal akan dirasai seawal Mei atau Jun.
“Tapi setakat sekarang pembekal kita belum beritahu berapa kenaikan harga dan bila kenaikan harga.
“Anggapan saya kenaikan itu tak kurang dari 5% atau 10% dan tak akan naik sehingga 20%. Mungkin dalam anggaran 3% hingga 10% jadi harga ini tak mahal sangat,” katanya kepada FMT.
Ameer berkata, rakyat sedia maklum Malaysia mengimport barangan asas daripada pembekal di negara seperti China, India, Vietnam dan Filipina yang kini berdepan tekanan bahan api.
“Jadi, bila mereka terasa tekanan bahan api, secara logiknya sudah tentu barang-barang dekat negara itu akan naik harga. Demikian itu, mereka naikkan harga harga di sana, kita akan dapat rintisan di sini dan harga kita akan naik,” katanya.
Selain tekanan bahan api, turut menekan ialah kos logistik, katanya. “Ini satu lagi tekanan kerana kita kena masukkan harga logistik daripada harga barang yang akan naik.”
Dalam pada itu, Ameer meredakan kebimbangan mengenai kecukupan bekalan makanan ketika ini. “Pada masa sekarang bekalan makanan memang mencukupi.”
Berdasarkan maklumat pengimport juga, Ameer mendedahkan negara destinasi eksport seperti China, India, Vietnam dan Asia Barat berdepan kesusahan mengimport barangan.
“Jadi ada barang berlebihan dan kelambatan barang,” katanya.
Jika harga barangan asas melebih 10%, Ameer mencadangkan kerajaan meningkatkan bantuan bersasar seperti Sumbangan Asas Rahmah (SARA) untuk golongan B40.
“Saya rasa tekanan ini bukan hanya B40 tapi babit M40. Kalau nak bagi pada semua orang ia akan beri tekanan kewangan pada kerajaan. Kalau kerajaan beri RM100 untuk semua orang, perbelanjaan itu akan jadi RM2 bilion.
“Untuk sementara waktu, kerajaan boleh bagi B40 tapi jangan lupa M40 kerana tekanan ini dirasai semua,” katanya.
Sementara itu, Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia menggesa kerajaan memperkukuh pemantauan harga dan memastikan penguatkuasaan dilaksanakan secara konsisten bagi mencegah pencatutan.
Ketua Pegawai Eksekutif, T Saravanan, berkata subsidi bersasar dan kawalan harga ke atas barangan asas perlu diteruskan, di samping peniaga tidak mengambil kesempatan menaikkan harga tanpa alasan munasabah.
“Pengguna disaran kekal tenang, berbelanja secara berhemah dan merancang kewangan dengan lebih teliti.
“Elakkan pembelian panik dan fokus kepada keperluan asas. Dengan kerjasama semua pihak, kesan kenaikan harga ini dapat dikawal dan tidak memberi tekanan berlebihan kepada rakyat,” katanya.