Hadi persoal harga diesel Semenanjung naik, dakwa tiada asas kukuh

Hadi persoal harga diesel Semenanjung naik, dakwa tiada asas kukuh

Presiden PAS berkata kenaikan kepada RM6.02 liter itu tidak berlaku di Sabah dan Sarawak.

Presiden Pas Abdul Hadi Awang
Abdul Hadi Awang berkata alasan mengaitkan kenaikan harga bahan api dengan ketegangan geopolitik di Timur Tengah, termasuk sekatan di Selat Hormuz, tidak sepatutnya dijadikan justifikasi kepada rakyat di Semenanjung.
PETALING JAYA:
Presiden PAS Abdul Hadi Awang mempersoalkan kenaikan harga diesel di Semenanjung yang menurutnya tidak dikenakan di Sabah dan Sarawak, sambil mendakwa langkah itu tidak mempunyai asas yang kukuh.

Dalam tulisan ‘Minda Presiden PAS’, Hadi berkata alasan mengaitkan kenaikan harga bahan api dengan ketegangan geopolitik di Timur Tengah, termasuk isu sekatan Iran di Selat Hormuz, tidak sepatutnya dijadikan justifikasi kepada rakyat di Semenanjung.

Menurut Ahli Parlimen Marang itu, Malaysia tidak wajar terkesan secara langsung memandangkan negara mempunyai sumber minyak dan gas sendiri, selain jaringan kerjasama dengan negara Islam lain yang kaya dengan sumber asli.

“Tidak ada sebab untuk menaikkan harga minyak kerana sebelum ini pernah membuat kenyataan berdegar-degar, boleh menyelesaikan isu harga minyak dalam masa kurang daripada 24 jam.

“Tetapi hari ini bersikap penakut dan hilang dunianya dengan berperisaikan alasan kenaikan harga minyak bersama Amerika Syarikat (AS) dan sekutunya yang sebenarnya berpunca daripada sekatan dilakukan oleh Iran,” katanya.

Hadi bagaimanapun tidak menyebut nama sebarang individu tetapi beliau mungkin merujuk kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Harga runcit diesel semasa di Semenanjung sehingga 8 April ditetapkan RM6.02 seliter manakala Sabah dan Sarawak kekal RM2.15 seliter.

Namun kerajaan pada 26 Mac lalu mengumumkan pembelian diesel di dua negeri itu dihadkan berdasarkan jenis kenderaan pengguna.

Sebelum ini, PN mengkritik perbezaan harga itu dengan mendakwa ia berisiko mewujudkan persepsi ketidakadilan terhadap pengguna dan perniagaan di Semenanjung Malaysia.

Dalam tulisan itu, Hadi turut mendakwa masalah sebenar yang menekan rakyat bukanlah kekurangan sumber, sebaliknya berpunca daripada kebocoran dan salah laku dalam pengurusan.

Beliau turut mengingatkan rakyat tidak mudah melupakan sejarah dan janji politik, sambil memetik amaran bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.

“Mahathir negarawan negara pernah memberikan amaran bahawa Melayu dan bumiputera jangan mudah lupa, termasuk lupa akan janji boleh menurunkan harga minyak dalam sekelip mata,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.