
Pengarah KPDN Kedah Muhammad Nizam Jamaludin berkata, susulan risikan sejak seminggu lepas ekoran aduan diterima, penguat kuasa KPDN Baling menyerbu premis kediaman yang menjalankan aktiviti memproses makanan ringan tempatan itu, yang terletak di Kampung Sungai Limau, kira-kira 11 pagi.
“Hasil pemeriksaan membawa kepada penemuan sejumlah minyak masak yang dipercayai digunakan untuk tujuan menggoreng kerepek,” katanya dalam kenyataan, lapor Bernama.
Muhammad Nizam berkata, ketika serbuan, seorang lelaki tempatan berusia 33 tahun yang mengaku sebagai pemilik premis itu gagal untuk mengemukakan permit atau kebenaran Pengawal Bekalan bagi tujuan menyimpan minyak masak tersebut.
Katanya, pasukan serbuan seterusnya menyita 288 paket minyak masak polibeg 1kg untuk siasatan lanjut dengan jumlah sitaan keseluruhan dianggarkan RM720.
Kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122).
“KPDN memberi amaran keras bahawa sebarang cubaan oleh mana-mana pihak, sama ada individu mahupun sindiket yang cuba menyeleweng subsidi negara merupakan satu bentuk pengkhianatan terhadap kepentingan rakyat dan negara,” kata Muhammad Nizam.