Malaysia komited pastikan keselamatan tenaga domestik terjamin

Malaysia komited pastikan keselamatan tenaga domestik terjamin

Menteri ekonomi berkata pendekatan bukan sahaja pada tindak balas terhadap krisis tapi bagaimana membuat persediaan, urus risiko dan lindungi kepentingan negara.

Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata Malaysia terus berperanan sebagai rakan strategik diyakini dalam menyokong kestabilan rantaian bekalan tenaga antarabangsa. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Malaysia menegaskan komitmen untuk memastikan keselamatan tenaga domestik kekal terjamin dan pada masa sama terus berperanan sebagai rakan strategik diyakini dalam menyokong kestabilan rantaian bekalan tenaga antarabangsa, kata Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir.

Katanya, melalui perbincangan dengan Menteri Perubahan Iklim dan Tenaga Australia Chris Bowen, negara itu turut memberi jaminan langkah penyesuaian bawah mekanisme keterjaminan gas domestik negara itu tidak akan menjejaskan kepentingan Malaysia.

Akmal menerusi hantaran di media sosial beliau hari ini berkata, perbincangan secara dalam talian itu bertujuan membincangkan isu keselamatan tenaga serantau dan global berikutan ketidaktentuan pasaran tenaga akibat konflik di Asia Barat.

“Antara tumpuan utama perbincangan adalah keadaan semasa rantaian bekalan minyak, gas dan bahan api bertapis serta tekanan berterusan ke atas pasaran tenaga global susulan faktor geopolitik.

“Kami berdua juga bersetuju bahawa komunikasi awam yang jelas, konsisten dan berprinsipkan ‘no surprises’ (tidak mengejutkan) amat penting supaya setiap kenyataan difahami dengan tepat dan tidak menimbulkan salah tafsir,” katanya.

Akmal berkata, dalam keadaan dunia yang semakin tidak menentu, pendekatan bukan sahaja terletak kepada tindak balas terhadap krisis, sebaliknya bagaimana untuk membuat persediaan, menguruskan risiko dan melindungi kepentingan negara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.