Tenaga nuklear ‘jalan perlu diambil’ Semenanjung, kata penasihat PMO

Tenaga nuklear ‘jalan perlu diambil’ Semenanjung, kata penasihat PMO

Nurhisham Hussein berkata tenaga solar tidak mampu memberikan elektrik beban asas, manakala Semenanjung kurang kapasiti hidrokuasa seperti di Sabah dan Sarawak.

Penasihat kanan di Pejabat Perdana Menteri, Nurhisham Hussein berkata, peralihan ke arah kuasa nuklear akan memerlukan perubahan dasar, pendidikan awam dan perjanjian antarabangsa. (Gambar Freepik)
PETALING JAYA:
Tenaga nuklear adalah ‘jalan yang perlu diambil’ Semenanjung Malaysia untuk memenuhi keperluan elektrik beban asas menurut penasihat ekonomi kanan di Pejabat Perdana Menteri (PMO).

Nurhisham Hussein berkata, kuasa solar tidak mampu menyediakan bekalan beban asas stabil, manakala Semenanjung Malaysia tidak mempunyai kapasiti kuasa hidro ketara seperti di Sabah dan Sarawak.

“Jadi nuklear adalah jalan yang perlu diambil, tetapi itu memerlukan banyak pendidikan dan pertukaran dalam dasar,” katanya dalam episod terbaharu podcast Keluar Sekejap.

“Kita juga perlu menandatangani banyak perjanjian antarabangsa dan melihat keseluruhan rantaian bekalan dari mula sampai akhir termasuk cara menguruskan sisa jadi semuanya memerlukan perbincangan jangka panjang.

Menurutnya, bahan api fosil masih memainkan peranan penting dalam ekonomi, khususnya diesel yang digunakan perniagaan kecil dan peniaga kecil.

“Ramai peniaga kecil dan perniagaan datang kepada kami selepas harga diesel naik, mengadu terkesan teruk. Jadi kami melihat bagaimana mereka dapat beralih daripada diesel kepada gas, kerana Malaysia mempunyai gas namun kita perlu membeli diesel,” katanya.

Nurhisham berkata, grid kuasa Asean yang dicadangkan akan membolehkan Malaysia memanfaatkan tenaga lebih bersih dengan mengimport kuasa hidro daripada Vietnam, Laos dan Kemboja.

“Sebaik memilikinya, kita akan mempunyai sumber tenaga boleh diperbaharui yang lebih baik,” katanya.

Malaysia buat masa ini tidak mengendalikan sebarang loji kuasa nuklear dan lebih banyak bergantung kepada gas, arang batu serta sumber tenaga boleh diperbaharui untuk penjanaan elektrik.

Idea kuasa nuklear berbangkit semula dalam perbincangan dasar dalam pada harga tenaga global melonjak susulan ketegangan geopolitik di Asia Barat.

Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air melancarkan kajian kebolehlaksanaan pada Ogos 2025 selepas pembentangan Rancangan Malaysia ke-13.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.