
Projek Sama berkata, parti pembangkang juga harus membentangkan rang undang-undang persendirian mengenai isu tersebut, menambah bahawa dana kawasan sepatutnya diuruskan secara bebas oleh Parlimen dan bukannya Pejabat Perdana Menteri.
“Setiap Ahli Parlimen yang dipilih, sama ada kerajaan atau pembangkang, mewakili rakyat Malaysia yang membayar cukai dan berhak mendapat akses sama rata kepada sumber awam.
“CDF datang daripada pembayar cukai, bukan parti pemerintah,” katanya dalam kenyataan.
Kenyataan itu dibuat selepas pejabat Ahli Parlimen Subang Wong Chen dilaporkan disekat daripada memuat naik permohonan Projek Mesra Rakyat untuk sekolah-sekolah di Subang ke portal MyKhas pada 20 Mei lepas.
Wong adalah antara Ahli Parlimen PKR yang hadir pada sidang media anjuran Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad di mana mereka mengumumkan akan mengambil alih Parti Bersama Malaysia (Bersama).
Walaupun masih bersama PKR, Wong dilaporkan berkata, beliau akan menjadi calon Bersama jika bertanding pada PRU akan datang.
Projek Sama berkata, sekatan yang didakwa dikenakan itu secara tidak langsung akan menafikan hak kira-kira 178,000 pengundi berdaftar di Subang, termasuk mereka yang tidak mengundi Pakatan Harapan pada 2022, daripada mendapat akses kepada dana awam yang menjadi hak mereka.
“Menahan akses CDF secara terpilih bukan sahaja menghukum Ahli Parlimen itu semata-mata, malah penduduk di kawasannya,” katanya.
FMT telah menghubungi Pejabat Perdana Menteri (PMO) untuk mendapatkan komen.