
Beliau membidas kenyataan Presiden PAS Abdul Hadi Awang yang mendakwa kenaikan harga diesel di Semenanjung tidak sepatutnya berlaku dengan mengambil kira kedudukan Malaysia sebagai negara pengeluar minyak.
Mahfuz berkata negara tidak kebal daripada impak geopolitik kerana sebahagian besar bekalan petroleum negara masih melalui laluan Selat Hormuz.
“Apabila berlaku ketegangan di laluan utama minyak dunia itu, bekalan global akan terganggu.
“Ini menyebabkan kos import meningkat, insurans perkapalan naik dan rantaian bekalan menjadi tidak stabil.
“Ini fakta asas ekonomi bukan teori politik. Malaysia tetap mengimport petroleum dan produk ditapis, bermakna negara tetap terikat kepada harga pasaran antarabangsa,” katanya dalam kenyataan.
Dalam tulisan ‘Minda Presiden PAS’, Hadi berkata alasan mengaitkan kenaikan harga bahan api dengan ketegangan geopolitik di Timur Tengah termasuk isu sekatan Iran di Selat Hormuz, tidak sepatutnya dijadikan justifikasi kepada rakyat di Semenanjung.
Menurut Ahli Parlimen Marang itu, Malaysia tidak wajar terkesan secara langsung memandangkan negara mempunyai sumber minyak dan gas sendiri, selain jaringan kerjasama dengan negara Islam lain yang kaya dengan sumber asli.
Mengulas lanjut, Mahfuz berkata kerajaan ketika ini menanggung beban subsidi besar bagi melindungi rakyat daripada kesan kenaikan harga pasaran dunia yang mendadak.
Katanya, perbandingan harga dengan Sabah dan Sarawak juga tidak tepat kerana ia melibatkan struktur logistik dan subsidi yang berbeza.
“Hakikatnya mudah, harga minyak naik kerana krisis global, bukan kerana konspirasi kerajaan.
“Semua pihak sepatutnya bertanggungjawab menyampaikan maklumat tepat, bukannya menangguk di air keruh dengan memainkan sentimen geopolitik untuk kepentingan politik sempit,” katanya.