
Bantuan akhirnya tiba dan bersama-sama dengannya hadir sesuatu yang sudah lama tidak dirasainya – harapan.
Ahli fisiologi senaman, CP Lee, tampil mengambil alih pemantauan rawatan Mutalib, menawarkan kepakarannya sebagai sebahagian usaha untuk membantu beliau kembali berdiri dan berjalan.
Lee melawat Mutalib di pusat jagaan di Sungai Buloh bersama sekumpulan ahli terapi senaman.
Turut hadir Noorul Ariffin, individu yang sebelum ini membantu membawa Mutalib keluar daripada keadaan terasing dan mendapatkan rawatan.
“Keadaan Mutalib bukan lumpuh,” kata Lee yang juga ketua pegawai eksekutif Asia College of Exercise Medicine serta penasihat saintifik Home Therapy Sdn Bhd.
“Beliau mengalami tekanan saraf pada L3.”
L3 merujuk kepada vertebra lumbar ketiga di bahagian bawah tulang belakang, kawasan penting di mana saraf bercabang untuk mengawal pergerakan dan kekuatan kaki.
Apabila saraf ini terhimpit dalam tempoh lama, ia boleh melemahkan otot dan mengehadkan pergerakan.
“Jika tekanan saraf tidak dirawat, ia boleh menyebabkan otot mengecut dan lemah,” jelas Lee.
“Ini boleh mengakibatkan kehilangan fungsi, malah dalam sesetengah kes secara kekal.”

Bagi Mutalib, kelewatan mendapatkan rawatan telah memberi kesan namun belum terlambat.
“Saya telah menilai kedua-dua kakinya. Kaki kiri beliau masih mempunyai fungsi sekitar 10 hingga 15 peratus,” kata Lee yang menjelaskan Mutalib masih mempunyai peluang untuk berjalan semula.”
Lee berkata rawatan akan bermula dengan pemulihan asas dan penguatan otot, menggunakan kaedah yang dikenali sebagai reciprocal innervation untuk mengaktifkan semula otot yang tidak aktif.
Mutalib, 59, sebelum ini hanya terbaring di sebuah rumah kecil di Kampung Bahagia Bukit Lagong, Sungai Buloh dan tidak mampu bergerak selain bergantung kepada kunjungan rakan-rakan yang tidak menentu.
Angin ahmar yang dialaminya pada 2021 menyebabkan beliau terlantar dan selama enam bulan beliau tidak keluar rumah.
Segalanya berubah hasil usaha Noorul dan bantuan penduduk kampung, khususnya golongan muda. Mereka membersihkan rumahnya dan dan memindahkannya ke pusat jagaan berhampiran di mana kini beliau menerima perhatian setiap hari.
Permintaannya hanya satu, beliau mahu berjalan semula.
“Proses pemulihan bukan mudah, tetapi ada harapan dengan usaha,” kata Noorul.
Mutalib, yang suatu ketika dahulu memahami erti ketahanan dalam sukan basikal berkata: “Ini mungkin perlumbaan paling penting dalam hidup saya.”