Najib datangkan ‘kemudaratan terbesar’ kepada saya, kata Dzulkefly

Najib datangkan ‘kemudaratan terbesar’ kepada saya, kata Dzulkefly

Menteri kesihatan itu nafi samannya bertujuan musnahkan kerjaya politik Najib Razak.

dzulkefly ahmad n najib razak
Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad saman bekas perdana menteri Najib Razak berhubung hantaran FB yang dikatakan dakwa beliau amal nepotisme.
KUALA LUMPUR:
Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini, beliau memutuskan untuk menyaman Najib Razak atas dakwaan fitnah memandangkan bekas perdana menteri itu telah mendatangkan ‘kemudaratan terbesar’ terhadap reputasinya.

Ketika disoal balas oleh Shafee Abdullah yang mewakili Najib, Dzulkefly mengakui beliau tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap individu lain yang meninggalkan komen ‘teruk’ di laman Facebook Najib berhubung pelantikan anak perempuan sulungnya di Amanah Ikhtiar Malaysia.

Shafee: Kamu tahu banyak komen yang ditinggalkan pada hantaran Facebook Najib, ada antaranya komen yang teruk. Tetapi adakah kamu saman sesiapa?

Dzulkefly: Tidak.

Shafee: Jika kamu rasa sangat terkesan, mengapa tidak saman juga yang lain?

Dzulkefly: Saya pilih lawan saya dengan bijak.

Shafee kemudian menegaskan bahawa Dzulkefly juga pernah menyaman bekas ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki, namun kemudiannya menyelesaikan tuntutan tersebut.

Dzulkefly menjelaskan, beliau memutuskan untuk meneruskan samannya terhadap Najib berikutan jumlah pengikutnya yang ramai di Facebook, dan juga kerana Najib telah menjejaskan reputasinya dengan teruk.

Beliau juga menolak cadangan bahawa saman itu bertujuan memusnahkan kerjaya politik Najib.

Shafee: Kamu pilih untuk saman anak guam saya terutamanya kerana ia satu cara untuk musnahkan (dia) supaya tidak boleh lagi (kembali ke) arena politik?

Dzulkefly: Tidak.

Apabila ditanya sama ada beliau telah mengambil langkah untuk menangkis dakwaan kronisme dan nepotisme berhubung pelantikan pada 2018 itu, Dzulkefly berkata, beliau tidak serta-merta melakukannya kerana tidak begitu memberi perhatian kepada perkara tersebut pada masa itu.

Katanya, beliau kemudiannya memberikan penjelasan kepada Sinar Harian pada 28 Jan 2019, selepas isu itu mula mendapat perhatian.

Dzulkefly berkata, pelantikan anak perempuannya dalam lembaga pemegang amanah Amanah Ikhtiar Malaysia tiada kena-mengena dengan Kementerian Kesihatan.

Shafee: Sayangnya, kamu tidak keluar sebarang kenyataan untuk sangkal persepsi itu?

Dzulkefly: Mungkin ada, tetapi tidak dapat liputan media.

Shafee: Pihak media tidak cukup bijak?

Dzulkefly: Mereka tidak petik (kata-kata saya). Saya ingat saya ada sebut dalam Parlimen.

Dzulkefly, 70, memfailkan saman itu pada Januari 2022, mendakwa Najib memuat naik hantaran Facebook yang memfitnahnya pada 24 Ogos 2020.

Menurutnya, hantaran itu memberi gambaran bahawa beliau mengamalkan nepotisme dengan memastikan anaknya dilantik menganggotai lembaga Amanah Ikhtiar Malaysia, dan bertujuan merosakkan reputasinya.

Najib dalam pernyataan pembelaannya yang difailkan pada 29 Mac 2022 menegaskan, hantaran tersebut merujuk kepada gabungan Pakatan Harapan, bukannya Dzulkefly.

Peguam Stanley Sabastien Sinnappen mewakili Dzulkefly, manakala Farhan Shafee bertindak sebagai peguam bersama di samping Shafee untuk mewakili Najib.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mahazan Mat Taib bersambung esok.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.