
Menteri Besar Aminuddin Harun berkata penjawat awam yang mempunyai jarak perjalanan melebihi 8km sehala dari rumah ke pejabat dibenarkan BDR pada Selasa, Rabu atau Khamis dan ditetapkan ketua jabatan masing-masing, manakala kehadiran fizikal diwajibkan pada Isnin dan Jumaat.
“BDR itu merangkumi semua jabatan dan agensi bawah pentadbiran negeri melibatkan sektor utama iaitu pengurusan dan pentadbiran termasuk kewangan, pentadbiran dan sumber manusia.
“Bagi sektor operasi yang melibatkan jawatan teknikal seperti jurutera, penolong jurutera, penghulu dan penguat kuasa, BDR dibuat secara penggiliran bagi memastikan sekurang-kurangnya 50% petugas berada di lapangan atau pejabat setiap hari bekerja,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat exco di Wisma Negeri.
Kelulusan BDR bagi ketua jabatan dan pegawai kumpulan pengurusan serta profesional tidak diberikan secara automatik sebaliknya perlu mendapat pertimbangan serta kelulusan setiausaha kerajaan negeri terlebih dahulu.
Pemantauan keberadaan pegawai terlibat akan dilaksanakan secara elektronik melalui Sistem SPOT-Me atau Google Live Location bagi memastikan keberkesanan.
“Pelaksanaan BDR ini turut dipanjangkan kepada pihak berkuasa tempatan serta badan berkanun negeri bawah pentadbiran kerajaan Negeri Sembilan tertakluk kepada penerimaan agensi masing-masing,” katanya.
Pada masa sama, penjawat awam yang layak turut diberi fleksibiliti sama ada menggunakan BDR atau hadir bekerja secara fizikal sepenuhnya di pejabat, menegaskan pelaksanaan akan ditarik semula jika jaminan kualiti kerja tidak diuruskan dengan baik.
Dalam pada itu, BDR tidak melibatkan pegawai dari sektor kritikal seperti pertahanan dan keselamatan, kesihatan serta pendidikan yang melibatkan sesi persekolahan.